Kerana percayakan jiran, suami isteri dakwa teraniaya

Bernama
Ogos 6, 2017 07:27 MYT
Pada Sabtu, kisah tiga kanak-kanak berusia dua, empat dan enam tahun diselamatkan JKM selepas dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu bapa menjadi viral di media sosial. - Gambar hiasan
Ibu bapa kepada kepada tiga kanak-kanak yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kediaman mereka di Larkin Perdana di sini, tiga hari lepas, mendakwa mereka teraniaya akibat percaya pada jiran.
Bapa kepada kanak-kanak itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 33, berkata pada hari kejadian, dia bersama isterinya, telah pergi mengikuti kursus kerja di sebuah kilang yang terletak di Gelang Patah dan meninggalkan tiga anaknya di bawah jagaan jiran iaitu seorang suri rumah di bilik sewa mereka.
"Apabila tiba di bilik sewa pada 8 malam (3 Ogos), saya terus buntu dan umpama menjadi gila mendapati tiga orang anak saya sudah tiada di di situ serta lebih terkilan jiran pula memaklumkan mereka bersama JKM.
"Anak bongsu perempuan berusia lapan bulan pula ditinggal bersama pengasuh yang tinggal di Kampung Melayu Majidee di sini. Kami meninggalkan anak kami kerana jiran yang dianggap sebagai kakak itu dengan rela hati mahu menjaga mereka yang berusia dua hingga enam tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Menurut Amran lagi, jirannya menyatakan mahu membantu mereka kerana menyedari dia dan isteri perlu menjalani kursus selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Ogos (Rabu dan Khamis) sebelum memulakan kerja sebagai operator kilang elektronik.
"Isteri saya ditawarkan kerja syif pagi manakala saya syif malam mulai 4 Ogos dan kami sepatutnya tiada masalah bagi menjaga anak-anak mulai minggu ini.
"Sebelum meninggalkan bilik sewa pada jam 7 pagi, isteri saya juga sudah menyediakan bekalan makanan kepada tiga orang anak kami tetapi tidak memandikan mereka kerana terlalu awal dan tambahan pula mereka masih tidur ketika itu," katanya yang berasal dari Sabah.
Jelasnya, mereka biasa membawa anak mereka untuk makan di luar seminggu sekali namun kerana kekurangan sumber kewangan ketika ini, mereka hanya mampu memakan nasi putih bersama kicap berlaukkan telur goreng.
"Malah tidak berlaku unsur pengabaian kerana jiran mahu menjaga anak kami selain anak sulung perempuan berusia enam tahun juga bijak mengurus dirinya termasuk membersihkan adik-adiknya sekiranya ingin membuang air.
"Selama tempoh mengikuti kursus, telefon bimbit saya kehabisan kredit hingga tidak mampu menghubungi jiran bagi bertanya keadaan anak namun saya tidak sangka gambar anak ditular," katanya.
Amran berkata, dia tidak menyangka jiran yang disangka mempunyai hati yang mulia berkenaan tergamak menganiaya keluarganya dengan menular kisah yang tidak benar.
Sementara itu, isterinya yang dikenali sebagai Siti, 21, berkata dia berasa teraniaya dengan perbuatan tidak bertanggungjawab jirannya yang tergamak memfitnah keluarganya.
Menurutnya, dia berharap keluarganya menerima pengadilan sewajarnya dan anaknya dikembalikan dengan secepat mungkin.
"Semalam saya dibenarkan bertemu dengan anak-anak namun tidak dibenarkan untuk dibawa pulang kerana kami difahamkan pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan.
"Biar susah macam mana sekalipun, kami tidak sanggup berpisah dengan darah daging kami. Kami makan pun tidak lalu, suami pula tidak mampu lelap mata mengenang anak," katanya.
Pada Sabtu, kisah tiga kanak-kanak berusia dua, empat dan enam tahun diselamatkan JKM selepas dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu bapa menjadi viral di media sosial.
JKM bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu selepas menerima pengaduan daripada jiran tiga beradik itu yang didakwa menjadi mangsa pengabaian ibu bapa mereka.
-- BERNAMA
#anak #jkm #Johor Bahru #Kanak-kanak #Larkin Perdana #media sosial
;