Kerana orang ketiga, suami langgar isteri sendiri

Bernama
Ogos 31, 2019 15:57 MYT
Wanita berkenaan dikejarkan ke Hospital Miri akibat kecederaan pinggang gara-gara dilanggar suami sendiri. - Gambar hiasan
Seorang wanita dikejarkan ke Hospital Miri akibat kecederaan pinggang gara-gara dilanggar suami sendiri di Kampung Wireless, di sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, ketika kejadian pada pukul 10.30 malam itu, suri rumah berusia 53 tahun itu balik dari masjid bersama rakan apabila tiba-tiba terlihat suaminya di dalam kereta bersama dengan seorang wanita di tepi jalan.
"Mangsa berjalan menghampiri kereta suaminya yang berusia 50 tahun dengan tujuan meminta wang untuk membeli ubat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lim berkata, suami mangsa tiba-tiba memecut kereta serta terus melanggar mangsa sehingga mengakibatkan wanita berkenaan tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan pinggang.
"Suspek yang berasal dari Kampung Lutong, Miri telah berkahwin dengan mangsa selama 30 tahun dan mempunyai lapan anak," katanya.
Beliau berkata suspek sudah dikenal pasti dan sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaaan iaitu cubaan membunuh. - BERNAMA
#Isteri dilanggar suami #kecederaan pinggang #Miri #Sarawak
;