Kerana kuasa, harta dan kedudukan, rasuah dijadikan amalan hidup

Astro Awani
Disember 29, 2021 21:24 MYT
Amalan rasuah terus berleluasa dan makin parah apabila ada yang melihat kepentingan peribadi mengatasi soal dosa dan pahala. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kegilaan untuk mendapatkan kuasa, harta dan kedudukan membuatkan banyak pihak termasuk agamawan mengabaikan tentang bahaya amalan rasuah.
Menurut Penasihat Kehormat Pusat Islamisasi Ilmu (CENTRIS) IIUM, Prof Emiritus Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan kesedaran masyarakat terhadap rasuah perlu tinggi dan menjadikan budaya dalam kehidupan bahawa memberi dan menerima rasuah merupakan satu perbuatan yang keji dan jijik.
Cara hidup yang tidak menerima rasuah dan menganggap amalan itu sebagai satu perkara yang memusnahkan negara banyak diamalkan di negara-negara Eropah terutama di negara Scandinavia.
"Di negara-negara barat, di Eropah dan di negara-negara Scandinavia menolak rasuah atau menganggap amalan rasuah ini satu perbuatan yang hina.
"Tetapi berbeza dengan negara kita dan juga negara-negara sedang membangun, yang menjadikan amalan memberi dan menerima rasuah sebagai satu amalan hidup atau way of life.
"Ia bukan hanya di peringkat atas tetapi juga berlaku di peringkat bawah, maka sebab itu kita lihat ia susah untuk kita banteras," katanya.
Beliau menjelaskan, amalan rasuah terus berleluasa dan makin parah apabila ada yang melihat kepentingan peribadi mengatasi soal dosa dan pahala.
Mereka ini, jelas Dr Muhammad mengetahui tentang larangan-larangan dalam agama tentang rasuah namun tidak menghiraukannya demi mencapai matlamat peribadi.
"Orang-orang yang terlibat dengan rasuah ini, yang memberi dan menerima ini dia tidak merasa apa-apa atau tidak terkesan dengan ajaran agama.
"Dia mungkin tahu tentang dosa dan pahala, faham tentang apa itu syurga dan neraka, mereka semua ini tahu tentang larangan agama pasal rasuah, tetapi bagi mereka ini, soal ini sangat jauh.
"Bagi mereka ini, yang segera dan yang penting ialah kuasa, takhta dan harta, jadi itu yang mendorong mereka meneruskan amalan rasuah," katanya lagi.
Dr Muhammad juga menegaskan, ahli-ahli politik sering menjadikan alasan untuk kepentingan rakyat bagi menghalalkan tindakan mereka melakukan rasuah.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Agenda AWANI yang membincangkan tentang rasuah dengan tajuk Hipokrasi, Menggoda dan Menjerat.
#Rasuah #banteras #amalan hidup #Dr Muhammad Kamal Hassan
;