Kerana kelapa, dua lelaki dipenjara 2 minggu
Sinar Harian
Julai 15, 2024 14:10 MYT
Julai 15, 2024 14:10 MYT
TELUK INTAN: Dua lelaki dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas pertuduhan gagal memberi penjelasan berhubung pemilikan 40 biji kelapa, minggu lalu.
Tertuduh, V Supramany, 50, dan Muhammad Amir Rashid Masri, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati memiliki dua karung guni berisi 40 biji kelapa yang mana mereka tidak dapat memberi penjelasan pemilikan harta tersebut yang disyaki diperoleh secara curang.
Kesalahan itu dilakukan di Ladang Kelapa Alpha Bernam dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk sekitar jam 8 malam pada 12 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai satu tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y100 ditahan pengawal keselamatan di tepi jalan di ladang terbabit.
Hasil pemeriksaan menemui dua karung guni yang mengandungi 40 biji kelapa yang disyaki dicuri sebelum pengadu bertindak membuat laporan polis.
Tangkapan dibuat selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah berkaitan pemilikan barang tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh tangkap. - Sinar Harian