Kerana hutang, adik ugut tikam dan bunuh kakak

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 14, 2020 13:59 MYT
Isu hutang yang tidak dilangsaikan tertuduh dipercayai menjadi punca tertuduh membuat ugutan itu terhadap kakaknya. - Foto Astro AWANI
KULIM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan ugutan jenayah dengan niat untuk mendatangkan kematian terhadap kakak kandungnya.
Tertuduh Muhamad Shah Izuan Azmi, 28, yang pada awalnya mengaku bersalah bagaimanapun menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut 'aku nak bunuh hang' terhadap kakak kandungnya Nur Asmira Azua Azmi, 30, di rumah mereka di Taman Serai Wangi, Padang Serai pada jam 6.05 petang pada 9 September lalu.
Isu hutang yang tidak dilangsaikan tertuduh dipercayai menjadi punca tertuduh membuat ugutan itu terhadap kakaknya.
Bagi kesalahan dilakukan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan pendakwaraya, Inspektor Siti Suhada Sabarudin.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin ekoran bimbang keselamatan mangsa terancam.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fieza Fazlin Fandi meminta jaminan dibenarkan atas alasan tertuduh masih bujang dan bekerja kontrak selain menanggung kedua ibu bapanya.
Tertuduh juga setuju syarat tambahan sekiranya diberikan ikat jamin.
Bagaimanapun mahkamah menolak rayuan di sebabkan bimbang akan menimbulkan gangguan kepada mangsa.
Hakim menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.
#adik #kakak #ugut #tikam #bunuh #dendam #Kulim #ugut bunuh kakak
;