Keramahan rakyat Malaysia redakan rindu warga asing
Bernama
April 23, 2023 17:15 MYT
April 23, 2023 17:15 MYT
JOHOR BAHRU: Keramahan dan kerukunan rakyat Malaysia terus mengeratkan hubungan sesama anggota komuniti dan ia turut meredakan kerinduan warga asing yang jauh dari keluarga dan orang tersayang, terutama ketika Hari Raya Aidilfitri di sini.
Abdulkader Sardini, 21, dari Aleppo, Syria, berkata beliau kagum dengan semangat perpaduan ditunjukkan rakyat Malaysia semasa sambutan Aidilfitri di sini.
"Saya sudah berada di sini setahun. Saya sangat sukakan semangat komuniti dan perpaduan di sini. Tiada siapa bertanya adakah anda rakyat Malaysia atau tidak. Kami adalah satu.
"Secara amnya sebagai warga asing di sini, kami jauh daripada ibu bapa terutama ketika Aidilfitri. Tetapi, semua rakyat Malaysia menerima kami sebagai sebahagian daripada keluarga mereka terutama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu universiti saya, mereka adalah satu keluarga besar. Kami menyambut Aidilfitri bersama, tiada perbezaan antara kami," kata pelajar Sains Komputer itu kepada Bernama ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Sultan Johor di Istana Besar Johor, di sini, hari ini.
Bagi warga Pakistan Muhammad Asim Siddique, 38, beliau menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya kerana persamaan kemeriahan sambutan Aidilfitri serta semangat muhibah yang ditunjukkan rakyat Malaysia.
Pelajar Ijazah Doktor Falsafah Sains Komputer itu bagaimanapun merindui beriani kegemarannya yang dihidangkan khas sempena Hari Raya Aidilfitri di bandar kelahirannya Lahore.
Bagi kedua-dua pelajar program pertukaran di UTM itu, ini adalah kali pertama mereka merasai pengalaman dan menyambut Hari Raya bersama umat Islam di sini.
Rakyat Perancis Alexis De Lizaso, 20, berkata ia adalah pengalaman yang menarik untuknya berikutan suasana yang menyenangkan dan makanan yang lazat.
"Ia mengingatkan saya pada Krismas apabila semua orang menyambutnya bersama. Saya benar-benar kagum.
"Makanan pula, saya sangat sukakan sate ayam dan makanan lain kecuali yang pedas kerana saya tak boleh makan makanan pedas," katanya yang mengenakan baju Melayu biru.
Bagi Linda Broere, beliau pastinya akan berkongsi pengalamannya menyambut musim perayaan itu bersama rakan-rakan dan universitinya di Turku, Finland.
"Kami mempunyai buletin di universiti yang boleh kami kongsikan pengalaman kami khususnya ketika program pertukaran.
"Ia adalah pengalaman yang menarik terutama dengan banyak makanan enak dan semangat muhibah, serta berkenalan dengan rakan baharu," kata pelajar berusia 21 tahun itu.
Bagi pelajar pengkomputeran itu, ini juga adalah kali pertama dia membeli dan memakai kebaya berwarna jingga yang akan digayakannya apabila pulang ke tanah air.
Sementara itu, Pengarah Antarabangsa UTM Prof Dr Mohd Ariffin Abu Hassan berkata pihaknya membawa 100 pelajar warga asing dan pelajar program pertukaran serta anggota keluarga mereka ke majlis berkenaan.
"Ini adalah peluang yang baik untuk mereka merasai sambutan Hari Raya Aidilfitri, budaya dan kemeriahan perayaan di Malaysia, terutama selepas pandemik," katanya.
Kira-kira 18,000 anggota masyarakat mengambil kesempatan meraikan hari kedua Syawal bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada majlis tersebut. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
-- BERNAMA