Kerajaan yakin sasaran 28 juta pelancong lawat Malaysia tercapai

Bernama
September 28, 2014 09:05 MYT
Kerajaan yakin sasaran 28 juta pelancong lawat Malaysia tercapai - Gambar fail
Sasaran kehadiran 28 juta pelancong ke Malaysia tahun ini diyakini tercapai walaupun negara berdepan beberapa insiden termasuk serangan pengganas di Sabah dan tragedi membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) Datuk Ab Ghaffar A. Tambi berkata keyakinan terbabit berdasarkan pertumbuhan pasaran dari beberapa negara Asia dan Timur Tengah yang sedikit sebanyak menyeimbangkan kehadiran pelancong ke negara ini selepas pasaran dari China, Taiwan dan Sri Lanka terjejas.
"Secara umumnya, insiden berkenaaan (serangan pengganas dan pesawat MAS) tidak merencatkan sektor pelancongan negara kerana terdapat beberapa pasaran yang menunjukkan peningkatan ketara.
"Antara negara yang menyumbang peningkatan jumlah pelancong adalah Turki sebanyak 62 peratus, Bangladesh (57 peratus) Korea Selatan (40 peratus) dan Sepanyol (39 peratus)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2014 di Mall of Medini, di sini, semalam.
Beliau berkata beberapa usaha dilakukan kementerian bagi memulihkan pasaran yang perlahan termasuk menggiatkan aktiviti promosi pelancongan yang dibantu pegawai di 44 pejabat Tourism Malaysia di luar negara.
Ab Ghaffar berkata kementerian juga kini giat melakukan promosi khususnya di China dengan memenuhi jemputan republik berkenaan.
"Pada masa sama, kita turut mengetengahkan kesenian dan kebudayaan tempatan dengan menghantar wakil ke China. Usaha terbabit bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan diplomatik malah sebagai medium mempromosikan aspek kebudayaan bagi menarik kehadiran rakyat negara itu ke Malaysia," katanya.
Hari Pelancongan Sedunia 2014 turut disambut 156 negara yang menjadi anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO).
Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.
#KPK #MAS #melawat #pelancong #pengganas #Turki #UNWTO
;