Kerajaan yakin inisiatif Menu Rahmah mampu bertahan
Bernama
Februari 20, 2023 20:20 MYT
Februari 20, 2023 20:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin inisiatif Menu Rahmah mampu bertahan dan diteruskan pelaksanaannya, jika harga barangan tidak naik mendadak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia memandangkan, inisiatif Menu Rahmah melibatkan tiga komponen penting iaitu beras, ayam atau ikan dan sayur-sayuran, yang merupakan antara barang harga kawalan.
"Saya rasa tidak mungkin dalam masa tiga bulan ini, harga beras naik RM10. Tidak mungkin harga sayuran naik mendadak lima, enam kali ganda. Sama juga seperti harga ayam, harganya kita kawal.
"Jadi saya yakin dan percaya bahawa sekiranya harga yang ada pada hari ini, tidak naik melampau, Menu Rahmah itu masih boleh bertahan," katanya selepas merasmikan pelancaran Jualan Rahmah AEON Big di AEON Big Wangsa Maju hari ini.
Salahuddin turut memaklumkan selain faktor peningkatan harga barangan, kerelaan pemain industri juga merupakan perkara penting, dalam usaha meneruskan inisiatif Menu Rahmah itu.
"Selagi mereka (pemain industri) merasa masih ada keuntungan dan mereka juga akan menjadi 'crowd puller', maka mereka akan meneruskan rancangan ini. Itu keyakinan saya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemain-pemain industri besar seperti Lotus, 99 Speedmart, dan NSK juga akan menawarkan Jualan Rahmah secara bergilir-gilir pada bulan tertentu, bagi meringankan beban rakyat.
Mengulas dakwaan terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan bahan yang kurang berkualiti dalam inisiatif Rahmah, beliau melahirkan keyakinan pemain industri yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini, merupakan mereka yang bertanggungjawab dan tidak akan mengambil kesempatan terhadap usaha berkenaan.
Sementara itu menyentuh tentang Program Jualan Rahmah AEON Big, Salahuddin berkata ia menawarkan 17 barangan keperluan harian dengan harga rendah antaranya beras, minyak masak, makanan proses, dan peralatan mandian, bagi membantu rakyat mengharungi peningkatan kos sara hidup, sekali gus merancakkan sektor ekonomi negara.
"Jika dibandingkan dengan harga (keseluruhan 17 barangan) di luar, ia mampu menjimatkan hampir RM25. Ini sudah pasti akan membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan," kata Salahuddin.
-- BERNAMA