Kerajaan yakin capai sasaran 30 juta pelancong pada 2020 - Dr Wan Azizah

Wan Syamsul Amly
Jun 22, 2019 23:10 MYT
Dr Wan Azizah menyerahkan sijil MBOR kepada Presiden Persatuan Industri Sarang Walit dan Pengeksport Malaysia Datuk Chua Huai Gen sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja hari ini. -- fotoBERNAMA
Kerajaan yakin mencapai sasaran sebanyak 30 juta pelancong dengan jumlah pendapatan sebanyak RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia mampu dicapai seandainya setiap rakyat menonjolkan keperibadian mulia dan berperanan sebagai duta pelancongan negara.
"Marilah kita mempromosi negara kepada masyarakat antarabangsa. Sudah pastilah cara yang paling mudah adalah dengan menonjolkan keperibadian kita yang mulia.
"Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat keperibadian timur yang kita miliki, dengan sendirinya mereka akan mencari pula seni dan warisan negara kita untuk dihayati dan dinikmati.
"Sudah pastilah, mereka akan mencarinya di sini, di negara kita, Malaysia, Truly Asia," katanya semasa berucap pada perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja, di sini, hari ini.
BACA: Tahun Melawat Malaysia 2020: Di mana kita di mata dunia?
BACA: Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020: Mohammadin jawab dakwaan tidak buat kerja
Pada majlis anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu juga, rekod minum minuman sarang burung Malaysia Book of Record (MBOR) dicipta dengan penyertaan 1,500 peserta.
Selain itu, kata Dr Wan Azizah, kerajaan juga memperkukuhkan usaha untuk mencapai sasaran tersebut melalui beberapa inisiatif antaranya pelaksanaan sepenuhnya Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 di mana 60 kluster ekopelancongan telah dikenalpasti di seluruh negara.
Selain itu kerajaan juga akan mencalonkan lebih banyak tapak warisan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Hutan Selangor FRIM, Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Taman Negeri Royal Belum di Perak.
#Asia #duta pelancongan #Malaysia Book of Record #Pelan Ekopelancongan Kebangsaan #pelancong #pendapatan #peribadi mulia #rakyat #sijil MBOR #tahun melawat malaysia #TMM2020 #Unesco #Wan Azizah Wan Ismail
;