Kerajaan wujudkan lebih banyak pusat pengumpulan hasil agromakanan
Eton Khir
Jun 9, 2022 13:36 MYT
Jun 9, 2022 13:36 MYT
SERDANG: Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak pusat pengumpulan hasil bagi sektor agromakanan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, inisiatif itu dilaksanakan kerajaan susulan kenaikan harga barang yang sering berlaku disebabkan tindakan orang tengah atau kartel yang memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.
“Ketika ini, kita mempunyai sebanyak 162 pusat pengumpulan bagi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (130) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) (300).
“Maka, kita akan menambah lagi (pusat pengumpulan hasil). Pada masa sama, kita juga menggalakkan perniagaan dalam talian agar pengeluar hasil terus kepada pengguna. Itu antara langkah dibuat kerajaan untuk mengurang pengaruh orang tengah.
“Selain itu, banyak lagi usaha yang diambil kementerian bagi mengurangkan pengaruh orang tengah dalam sektor agromakanan yang menjadi isu sejak sekian lama ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra-Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.
Sementara itu Ronald berkata, kerajaan menyedari isu ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu dan sedang meneliti puncanya yang melibatkan orang tengah dan pengusaha.
Katanya lagi, kerajaan akan memberikan dana modal khususnya kepada pengusaha kecil agar tidak bergantung sumber kewangan daripada individu lain yang dikategorikan sebagai orang tengah.
Pada masa sama, Ronald menegaskan usaha membenteras pengaruh orang tengah ini memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak agar tidak lebih berleluasa.
"Ia akan lalui proses besar untuk menghalang terus kartel namun kita sudah ambil langkah sekian lama dan pelbagai tindakan diambil kementerian kurangkan perkara ini dalam sektor agromakanan,” katanya lagi.