Kerajaan wartakan 11 barang makanan kawalan sempena Krismas - Salahuddin
Firdaus Azil
Disember 20, 2022 12:10 MYT
Disember 20, 2022 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mewartakan 11 jenis barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Krismas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, tempoh pelaksanaan bagi sekim tersebut berkuatkuasa dari 23 hingga 27 Disember, iaitu dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan, dan dua hari selepas perayaan Krismas.
Sejumlah 11 jenis barangan tersebut adalah: - ayam tua hidup, kepak ayam, daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah, dan ubi kentang import.
Tiga lagi barangan ialah babi hidup, daging babi (perut), dan daging babi (daging dan lemak) yang dikawal di Sarawak, Sabah, dan Labuan.
“Objektif kepada pelaksanaan ini bagi pastikan tidak ada mana-mana pihak melakukan pencatutan harga, dan seterusnya pastikan barang-barang keperluan rakyat dalam keadaan stabil,” katanya lagi.
“Kita telah adakan libat urus dengan pihak berkepentingan, dem memastikan jaminan tentang kecukupan bekalan, dan saya harap dengan adanya Operasi Terjah yang saya lancarkan pada 16 Disember lepas, ia sangat membantu kerana pegawai kita di semua peringkat dapat memantau dengan penuh tanggungjawab sepanjang Krismas.
“Kita juga dapat memastikan semua rakyat dapat beli barangan, serta mewujudkan kestabilan di pasaran. Dengan harga yang ditetapkan ini, (diharap) rakyat ada sedikit kegembiraan dalam menyambut perayaan,” katanya lagi.
Berdasarkan senarai yang boleh didapati di laman web KPDN, perbezaan antara harga kawalan runcit dan harga semasa bagi sebelas barangan tersebut adalah antara RM1 ke RM8.
Mengulas mengenai Ops Terjah, Salahuddin berkata, setakat ini tiada aduan mengenai pelanggaran harga kawalan yang diterima, tetapi lebih kepada aduan tentang kekurangan bekalan.
“Setakat ini kita telah terima beberapa aduan, terbaharu di Kuantan semalam, sewaktu itu, telur ayam gred C dilaporkan kehabisan.
“Setelah saya dapat berita itu, setelah saya minta pegawai serta-merta sampai ke tempat kejadian itu, pasaraya spesifik itu, pada ketika kita sampai, bekalan itu telah dapat dipastikan berada pada tahap yang biasa,” katanya lagi.
Salahuddin berkata, perkara seperti itu tidak dikategorikan sebagai kesalahan, kerana ia lebih kepada pengurusan stok pihak pasaraya untuk memastikan bekalan mencukupi.