Kerajaan wajibkan pemasangan AED di premis kerajaan mulai 2025 - Khairy
Hasimi Muhamad
Mac 25, 2022 18:22 MYT
Mac 25, 2022 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan mewajibkan pemasangan peranti defibrilator luaran automatik (AED) di semua bangunan kerajaan di seluruh negara pada 2025.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dasar tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada pagi tadi.
Jelas beliau, perkara itu juga akan dibawa ke Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi membolehkan Kerajaan Tempatan mengubal akta yang bersesuai untuk pelaksanaan pemasangan AED.
Khairy menambah projek AED itu akan dilancarkan pada 1 Jun ini melibatkan peruntukan RM3 juta, di mana fasa pertama program tersebut akan berlangsung dari 2022 hingga 2024.
“St. John Ambulans Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia akan menyediakan 100 AED di seluruh negara.
“Bukan hanya sedia AED dan bertanggungjawab untuk penyelengaraan, yang penting mereka akan melatih sukarelawan jntuk menggunakan AED,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, di sini pada Jumaat.
AED merupakan suatu peranti yang dapat menganalisis denyutan jantung dan memberi nasihat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus kejutan kepada mangsa.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, penyediaan alat perubatan itu penting kerana banyak kes kematian dilaporkan akibat serangan jantung.
Selain itu, ia juga selari dengan wawasannya untuk memastikan bangunan-bangunan awam dan sebagai menyediakan AED.
“Kita dapati banyak kes serangan jantung berlaku dan apabila ia berlaku sangat penting untuk kita dapatkan (rawatan), dua tiga kali ganda kebarangkalian hidup berbanding komuniti yang tidak ada AED.
“Negara-negara maju ada (menyediakan AED) di pusat beli belah, dan fasiliti sukan. Dan saya diberitahu oleh pihak doktor tempoh waktu yang kritikal dua minit selepas serangan jantung dan sekiranya dapat digunakan AED, potensi untuk mereka pulih adalah lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Khairy memaklumkan kerajaan turut memperuntukan RM5 juta kepada St John dan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk Projek Ambulans Hotspots.
Jelasnya, menerusi projek itu, kedua-dua agensi kesihatan itu akan menyediakan ambulans di 15 lokasi hotspot di seluruh Malaysia.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 20 lokasi termasuk lima yang sedia ada.