Kerajaan wajar mengurangkan waktu bekerja - MTUC

Hafiz Marzukhi
September 1, 2016 09:38 MYT
Beberapa negara jiran di rantau Asia Tenggara sudah mula menurunkan bilangan jam bekerja kepada 40 jam seminggu. -Gambar hiasan
Sudah tiba masa untuk Malaysia mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan waktu bekerja dalam sehari.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat waktu bekerja selama 48 jam seminggu yang diperuntukkan di bawah undang-undang adalah terlalu 'lama' berbanding negara-negara yang lain.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam berkata pengamalan waktu bekerja yang panjang akan memberi kesan buruk kepada pekerja dalam jangka masa yang lama dan akhirnya mengurangkan produktiviti.
"Apabila kita bercakap tentang produktiviti, kami merasakan bilangan jam bekerja selama enam jam akan memberi kebaikan bukan sahaja dari segi produktiviti pekerja.
"Jika pekerja mendapat rehat yang cukup, mereka akan kembali bekerja pada keesokan harinya dengan lebih bertenaga dan ini seterusnya akan meningkatkan produktiviti mereka di tempat bekerja," kata Gopal Kishnam.
Selain itu, Gopal Kishnam berkata, beberapa negara jiran di rantau Asia Tenggara sudah mula menurunkan bilangan jam bekerja kepada 40 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu yang diperuntukkan dalam undang-undang di Malaysia.
"Memang saya akui perubahan tidak boleh dibuat secara drastik dari keadaan kini kepada 6 jam bekerja sehari.
"Namun, kerajaan boleh menyediakan keadaan di mana masyarakat boleh terima sistem ini dengan menurunkan bilangan jam bekerja secara perlahan-lahan, misalnya menurunkan bilangan jam bekerja kepada 40 jam seminggu," kata Gopal Kishnam dalam satu temubual eksklusif dengan Astro AWANI di Ibu Pejabat MTUC di Subang Jaya.
Beliau turut menyentuh mengenai sasaran Malaysia untuk mencapai negara maju pada tahun 2020.
"Jika kita ingin mencapai negara maju, sudah pasti kita perlu lihat bagaimana tahap produktiviti di negara lain. Oleh itu, saya rasa kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan mengurangkan bilangan jam bekerja demi kebaikan bagi jangka masa panjang," kata Gopal Kishnam.
Sweden sudah mula bergerak ke arah mengamalkan sistem bekerja selama 6 jam sehari setelah eksperimennya menunjukkan hasil memberangsangkan.
Eksperimen tersebut melibatkan satu rumah jagaan warga emas dimana dilaporkan jururawat-jururawat yang bertugas di sana dilihat 20 peratus lebih gembira setelah perubahan waktu bekerja dilaksanakan.
Selain itu, pengkaji turut melaporkan kebarangkalian petugas mengambil cuti sakit juga berkurang sebanyak separuh.
#Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia #Kurang #waktu bekerja
;