Kerajaan wajar kawal dana Petronas ketika pandemik
Hasimi Muhamad
Disember 16, 2020 13:01 MYT
Disember 16, 2020 13:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan supaya mengawal bayaran dividen oleh Petronas, khususnya ketika kerajaan berdepan situasi kecemasan.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, wajar untuk kerajaan mempertimbangkan penggunaan dana daripada syarikat gali minyak itu ketika negara berdepan COVID-19.
"Dana Petronas kita patut kawal, kebiasaannya kita minta (dividen) antara RM20 bilion dan RM30 bilion, paling maksimum.
"Untuk masa kecemasan di dalam COVID-19, ini, saya rasa kalau ada keperluannya timbul, kita kena guna dana Petronas.
"Bagaimanapun, isu yang saya timbulkan adalah berkaitan dengan laporan hasil Petronas. Ini tidak boleh bagi kepada Perdana Menteri seorang, kita boleh buat komuniti khas. Komuniti Parlimen kita boleh dengar dan bersumpah untuk tidak bocorkan maklumat tersebut," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika Sesi Perbahasan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020.
Shahidan meminta pandangan mengenai kewajaran kerajaan untuk mengambil dividen Petronas melebihi daripada had yang ditetapkan.
Sebelum itu, Wong ketika membahaskan pindaan RUU tersebut mencadangkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Abdul Aziz agar melakukan satu reformasi terhadap laporan hasil Petronas.
Jelas Wong, laporan hasil Petronas wajar dibentangkan kepada komuniti Parlimen dan tidak sepatutnya diberikan kepada Perdana Menteri sahaja.
Katanya, hasil Petonas adalah hak rayat dan ia perlu dipantau oleh rakyat menerusi Parlimen.
Sidang Dewan Rakyat hari ini buat pertama kali menyaksikan tiada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan ia berlangsung serentak dengan Sidang Dewan Negara.
#Dewan Rakyat
#Shahidan Kassim
#Perdana Menteri
#Petronas
#COVID-19
#Dewan Negara
#Ahli Parlimen Subang
#RUU Kewangan 2020