Kerajaan usaha tingkatkan imbuhan atlet negara tiga kali ganda - TPM Zahid
Hilmi Malik
Julai 12, 2023 23:17 MYT
Julai 12, 2023 23:17 MYT
BANGI: Kerajaan akan pertimbang untuk meningkatkan insentif sebanyak tiga kali ganda terhadap atlet-atlet negara yang telah mempamerkan aksi cemerlang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu tidak semestinya diperoleh dari kerajaan sebaliknya perlu hadir daripada syarikat-syarikat korporat.
"Pencapaian kita semakin meningkat tetapi hadiah-hadiah tidak pun meningkat, saya amat bersimpati dengan ahli-ahli sukan terutamanya yang dapat emas, perak, dan gangsa.
"Saya yakin (pada) belanjawan tahun hadapan, Perdana Menteri akan pertingkatkan lagi hadiah-hadiah namun jangan hanya letakkan bebanan pada kerajaan... banyak syarikat-syarikat swasta yang berhajat untuk menaja apatah lagi untuk hadiah-hadiah yang menarik.
"Kalau saya diundang lagi pada Majlis Shakam tahun hadapan, jumlahnya (ganjaran) sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2023 di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, imbuhan yang diterima atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negara tidak setimpal jika dibandingkan dengan kejayaan yang telah mereka sumbangkan kepada negara.
Majlis tersebut merupakan penghargaan terhadap atlet-atlet yang telah meraih pencapaian positif bagi temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Ini termasuk temasya Sukan Para ASEAN Kemboja 2023 di mana imbuhan kedua-duanya mencecah hampir RM2.4 juta.
Skuad olahraga membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa sekali gus menerima insentif keseluruhan sebanyak RM141,00.00 manakala pencak silat yang memenangi empat emas, lima perak dan empat gangsa menerima sebanyak RM115,000.
Bagi pemenang pingat Temasya Sukan Para ASEAN, atlet-atlet membawa pulang ganjaran SHAKAM berjumlah RM1.8 juta di mana sukan para renang membawa pulang jumah terbesar dengan nilai ganjaran hampir RM500,000.00.
Sukan para renang cemerlang meraih 26 emas, 12 perak, dan 10 gangsa.
Selain itu, SHAKAM 2023 juga meraikan kejayaan atlet negara yang beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Khas 2023 Berlin.
Kontinjen Malaysia membawa pulang empat emas, lima perak, dan sembilan gangsa dan menerima insentif khas berjumlah RM95,500 secara keseluruhan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Sukan Olimpik Malaysia (MOM),Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.