Kerajaan usaha tarik pelaburan asing, petani muda bagi tingkatkan pengeluaran daging

Bernama
Disember 5, 2023 07:00 MYT
Datuk Chan Foong Hin berkata, pada masa ini negara hanya mampu menghasilkan sekitar 250,000 tan metrik daging setahun dan jumlah itu masih tidak mencukupi untuk penggunaan domestik.
SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan peningkatan kadar sara diri (SSR) daging negara sehingga 50 peratus menjelang 2025 melalui pelbagai usaha yang giat dijalankan termasuk menarik pelaburan besar asing dan menggalakkan penglibatan penternak muda.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pada masa ini negara hanya mampu menghasilkan sekitar 250,000 tan metrik daging setahun dan jumlah itu masih tidak mencukupi untuk penggunaan domestik.
Justeru, beliau berkata, kementeriannya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) akan melaksana pelbagai program dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mencapai sasaran itu berbanding 24 peratus SSR daging tempatan buat masa ini.
"Terdapat pelabur asing turut menunjukkan minat mereka untuk melabur di Malaysia dan salah satunya adalah dari Qatar yang berminat untuk bekerjasama dengan FGV Holdings Bhd (FGV)," katanya kepada media selepas merasmikan program "The Cattle Ranch" yang dibimbing LLP, di sini, pada Selasa.
"Jadi ini antara cara kita untuk meningkatkan pertumbuhan industri ini termasuk menggalakkan pelaburan besar-besaran dan menggalakkan penglibatan golongan muda dengan menyediakan latihan dan program yang diperlukan," katanya.
Mengenai program The Cattle Ranch yang melibatkan 180 penternak dari seluruh negara, Chan berkata, ia bermatlamat membantu usahawan ternakan lembu dalam meningkatkan kapasiti dan kompetensi melalui saluran yang berkesan bagi membolehkan mereka berinteraksi dan membina jaringan perniagaan di seluruh negara.
Beliau turut memaklumkan, sejak 2015, LLP telah memberi pelbagai latihan dan menyalurkan peruntukan RM8.2 juta kepada 255 usahawan yang kini memiliki keseluruhan 11,000 ekor lembu ternakan. - BERNAMA
#daging #tarik pelaburan asing #petani muda #ssr #Kadar Sara Diri
;