Kerajaan usaha bawa balik mangsa 'scam' luar negara
Sinar Harian
Oktober 9, 2023 06:30 MYT
Oktober 9, 2023 06:30 MYT
KOTA BHARU : Kerajaan akan terus berusaha untuk membawa balik rakyat Malaysia yang menjadi mangsa 'scam' di luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini kerajaan sedang berusaha mengesan mereka yang menjadi mangsa.
"Ini saya hendak beri peringatan pada rakyat Malaysia. Kalau ada sahaja tawaran dengan gaji lumayan dan tidak bersesuaian dengan kelayakan, kita patut ragu-ragu.
"Jangan kita terpikat dan terpedaya dengan gaji lumayan untuk kerja di luar negara, akhirnya terperangkap (scam)," katanya semasa diminta mengulas isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa scam.
Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, sudah acap kali kerajaan terpaksa selamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap sebagai contoh di Myanmar.
Dalam perkembangan sama, Fadillah mengucapkan terima kasih kepada polis Republik Peru yang telah menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru pada 7 Oktober lalu.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan media pada Isnin, kesemua rakyat Malaysia itu diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, Lima.
"Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima ingin mengesahkan bahawa 43 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam telah diselamatkan oleh polis Republik Peru pada 7 Oktober 2023. - Sinar Harian