Kerajaan umum subsidi ayam, telur kepada penternak
Nickyson Nyambar
Februari 9, 2022 21:35 MYT
Februari 9, 2022 21:35 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam berkuat kuasa 5 Februari hingga 4 Jun depan, dalam usaha mengurangkan beban golongan itu dan menstabilkan bekalan.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee, subsidi itu diberi dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard (RM8.90 sekilogram).
Katanya, bagi telur, kerajaan turut memberi subsidi lima sen sebiji untuk semua jenis kategori.
"Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.
"Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari 2022 hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
"Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, MAFI menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan dan beroperasi dalam skala penuh untuk memastikan pengeluarannya mencukup bagi memenuhi keperluan tempatan.
"MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan," tambahnya lagi.