Kerajaan umum pengecualian duti setem, galak sektor swasta sediakan pelan persaraan

Umavathi Ramayah
Disember 14, 2021 21:13 MYT
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian itu sah bagi tempoh dua tahun pertama pelancaran skim terbabit. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebagai usaha menyokong inisiatif sektor swasta menyediakan pelan persaraan teguh seperti Skim Saraan Bercagar (SSB), Kementerian Kewangan mengumumkan pengecualian duti setem bagi mengurangkan beban kewangan kepada pemohon.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian itu sah bagi tempoh dua tahun pertama pelancaran skim itu.
"Saya berbesar hati mengumumkan pengecualian duti setem ke atas dokumen transaksi seperti skim ini.
"Pengecualian ini adalah sah bagi tempoh dua tahun pertama pelancaran skim dan ia adalah sebagai mengukuhkan lagi usaha kerajaan dalam menyokong inisiatif sektor swasta," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SSB di sini, pada Selasa.
Menurut Tengku Zafrul lagi, menyedari kepentingan dan sumbangan pesara kepada ekonomi, kementeriannya akan menggubal dasar dan pembaharuan struktur yang bersesuaian untuk memastikan golongan itu terus berdikari.
Malah katanya, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) diaktifkan semula dan kini aktif menganalisis pelbagai pilihan untuk menggubal dasar kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu.
Dalam pada itu, pada sidang media, Presiden dan Ketua Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong memberitahu, SSB yang dilancarkan perbadanan gadai janji nasional itu adalah sebagai membantu membiayai pasca persaraan warga emas.
Beliau memberitahu, di bawah skim ini, pesara yang berusia 55 tahun dan ke atas mampu memperolehi pendaftaran bulanan secara tetap sepanjang hayat dengan mencagar kediaman mereka.
"Skim ini adalah bagi membantu pesara-pesara untuk mendapatkan aliran tunai secara bulanan secara berterusan sehingga akhir hayat mereka.
"Yang membezakan skim ini dengan pinjaman bank adalah pertama, peminjam boleh terus tinggal di rumah mereka sehingga akhir. Kedua, peminjam boleh mendapat aliran tunai sepanjang hayat dan ketiga pada akhir hayat, waris peminjam akan diberi peluang untuk melunaskan pinjam jika mereka mahu mengambil balik rumah yang dicagar itu," katanya.
Menjelaskanya, beliau memberitahu, sekiranya mereka tidak mahu, maka Cagamas akan menjual rumah tersebut.
"Jika ada lebihan tunai daripada jualan tersebut, baki akan dipulangkan kepada waris. Sebaliknya jika jumlah pinjaman melebihi jumlah jualan rumah, mereka tidak perlu membayar kekurangan tersebut," ujarnya lagi.
Terdahulu, Cagamas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Agensi Kaunseling dan Pendidikan Kewangan (AKPK) sebagai kolaborasi bersama dalam meningkatkan pembiayaan kepada golongan tua.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Kementerian Kewangan #Cagamas #kim Saraan Bercagar
;