Kerajaan umum diskaun khas buat pengusaha Menu Rahmah
Ridauddin Daud
April 18, 2023 14:49 MYT
April 18, 2023 14:49 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan pada kadar diskaun khas buat pengusaha Menu Rahmah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan cakna dengan sumbangan pengusaha Menu Rahmah dan prihatin dengan kos pengeluaran yang meningkat.
"Bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu Rahmah, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
"Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
"Kerajaan Perpaduan terus komited memastikan kebajikan rakyat di bawah Malaysia MADANI sentiasa terbela dalam segenap aspek.
"Diharap dengan pelbagai ikhtiar dan program khas yang dilaksanakan, semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat memberi seribu makna buat seluruh rakyat Malaysia," tambah PM Anwar.