Kerajaan tubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara - Shahidan

Astro Awani
September 2, 2015 23:40 MYT
Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memberi tumpuan dalam menjaga keselamatan negara.
Kerajaan menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) bagi menyelaras dan mengurus bantuan bencana dalam negara dengan lebih teratur dan efektif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata APBN yang merupakan sebuah agensi baharu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mengambil alih tugas dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam penyelarasan serta pengurusan bencana.
Katanya, MKN kini akan memberi tumpuan dalam menjaga keselamatan negara.
"Arahan 20 MKN (arahan yang menggariskan mekanisme pengurusan dan bantuan sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana) tidak berubah," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, APBN akan mengadakan mesyuarat pertamanya 8 September ini untuk membuat persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh akan datang.
"Dengan penubuhan APBN, kita juga akan menambah keanggotaan dan aset seperti trak 8-tan dan bot penyelamat di peringkat negeri mengikut keperluan bagi memantapkan pengurusan bencana," katanya.
Shahidan berkata, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan dipindahkan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke ABPN.
Agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) akan terus terlibat dalam rangkaian APBN itu," katanya.
Selain itu, Shahidan berkata APBN akan menggunakan aset udara seperti helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
#Agensi Pengurusan Bencana Negara #APBN #Jabatan Perdana Menteri #Shahidan Kassim
;