Kerajaan tubuh Pejabat Pengurusan Hutang, mantapkan sistem kewangan

Amirah Shariffudin
Mei 15, 2019 23:33 MYT
Lim berkata PPH akan menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang. - Gambar fail
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) yang akan bertanggungjawab menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan.
Ia ditubuhkan sebagai salah satu langkah untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah hutang dan liabiliti kerajaan yang disembunyikan, yang telah mencecah RM1 trilion sejak 2017.
Katanya, PPH akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) secara holistik.
Langkah-langkah yang akan dijalankan PPH adalah menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah yang paling rendah.
Selain itu, menurut Lim dalam satu kenyataan hari ini, PPH akan menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang.
Pada masa sama, itu juga akan merancang strategi-strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa akan datang.
PPH akan dipengerusikan oleh Lim selaku menteri kewangan dan pewujudannya telah dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anggota PPH ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Selain itu Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Syed Zaid Albar; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Akauntan Negara Malaysia Datuk Saat Esa; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammad Abdul Khalid serta Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi turut menganggotai PPH.
“PPH bertujuan mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan dan juga memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang lagi,” tambah Lim.
#bon #hutang #Kementerian Kewangan #kerajaan #Lim Guan Eng #menteri #Pejabat Pengurusan Hutang #pinjaman #PPH #RM1 trilion #siaran media
;