Kerajaan tubuh Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2023 - Ahmad Maslan

Bernama
Februari 24, 2023 23:36 MYT
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jawatankuasa itu akan memantau setiap kementerian berikutan peruntukan sebanyak RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pada tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah negara. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2023 bagi memastikan setiap cadangan pembangunan melalui peruntukan yang telah diumum menerusi Belanjawan 2023 hari ini dapat dicapai.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jawatankuasa itu akan memantau setiap kementerian berikutan peruntukan sebanyak RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pada tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah negara.
"Saya kira Jawatankuasa Pemantauan Bajet tentu sekali perlu ada dan jawatankuasa itu akan sentiasa menilai setakat mana perbelanjaan telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan.
"Kita juga berharap agar pencapaian kementerian-kementerian 100 peratus. Misalnya jika kementerian itu diperuntuk RM10 bilion maka RM10 bilion termasuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan itu perlu dihabiskan (bagi tujuan pembangunan)," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika mengulas komitmen kerajaan yang menyasarkan untuk menoktah kemiskinan tegar serta pembaikan sebanyak 400 klinik dan 380 sekolah daif secepat mungkin.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 pernah ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu bagi memantau pelaksanaan dan prestasi pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2022 untuk kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pontian itu berkata cadangan kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape akan memberi punca pendapatan baharu kepada kerajaan.
"Kita menjangka akan dapat meraih sebanyak RM900 juta hingga RM1 bilion jika perkara ini dapat dilaksanakan. Kita juga ingin mengetatkan segala kebolosan hasil cukai ini terutama rokok yang tidak bercukai yang menyebabkan kebolosan kira-kira RM5 bilion," katanya.
Belanjawan 2023 bertema 'Membangun Malaysia MADANI' yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan di Parlimen hari ini membabitkan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Ia menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
-- BERNAMA
#Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2023 #Belanjawan 2023 #Kementerian Kewangan #Ahmad Maslan
;