Kerajaan timbang libatkan badan uniform bantu tangani militan - Hishammuddin
Bernama
April 21, 2015 08:13 MYT
April 21, 2015 08:13 MYT
Kerajaan akan mempertimbangkan kewajaran melibatkan badan beruniform lain, selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu operasi bersepadu menangani kegiatan militan di negara ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha melibatkan organisasi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilihat perlu digerakkan secara menyeluruh bagi menangani gejala IS yang semakin menular.
"Saya bersetuju bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan melibatkan agensi badan-badan beruniform lain, ini merupakan cadangan yang baik.
Pada peringkat awal ini, penting kita uar-uarkan perkara ini (IS) melalui media massa kepada orang ramai, tetapi jangan sampai menakut-nakutkan mereka," katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis syarahan bertajuk 'Dasar Keselamatan dan Pertahanan Malaysia' kepada 40 peserta kursus Pengajian Strategi dan Pertahanan dari tujuh buah negara di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 35/2015, di sini pada Isnin.
Hishammuddin berkata, ketika ini kewujudan militan IS di negara ini masih lagi terkawal, dan kerajaan sentiasa bersiap sedia sebarang kemungkinan yang berlaku.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga meminta ibu bapa dan anggota keluarga lebih berwaspada memantau rapi pergerakan anak-anak mereka agar tidak terpengaruh dakyah dan ideologi seperti IS di media sosial.
"Fenomena seperti yang berlaku di Eropah, pengaruh media sosial boleh menyebabkan anak-anak tidak berdosa dan tiada pengalaman, terpengaruh dan terlibat secara langsung.
Ibu bapa tidak menyedari apa yang terdedah di media sosial, perancangan yang mereka (anak-anak) lakukan tanpa pengetahuan keluarga, katanya.