Kerajaan timbang cadangan tubuh pusat data berkaitan sains, teknologi dan inovasi

Bernama
Disember 18, 2015 09:52 MYT
TANGAU: Pusat yang merentas kementerian itu diperlukan bagi memastikan keharmonian usaha, kerjasama semua sumber dan pertukaran maklumat antara pelbagai pihak berkepentingan. -Foto facebook.com/wtangau
Kerajaan akan menimbang untuk menubuhkan sebuah pusat data terbuka bagi membolehkan pembuat keputusan atau pihak yang berkepentingan mendapatkan bukti berkaitan dengan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata pangkalan data menyeluruh dan bersepadu di bawah kementeriannya itu merupakan antara syor dalam laporan Akademi Sains Malaysia (ASM).
"Penekanan yang kuat terhadap data dan bukti dalam laporan itu adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan pangkalan data," katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan 'Science Outlook 2015: Action Towards Vision', di sini pada Khamis.
"Pangkalan data ini untuk memudahkan memeriksa inventori, perancangan dan intervensi penyampaian STI secara berkesan bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi," katanya.
Di samping itu, Tangau berkata pusat yang merentas kementerian itu diperlukan bagi memastikan keharmonian usaha, kerjasama semua sumber dan pertukaran maklumat antara pelbagai pihak berkepentingan.
Pada majlis sama, Presiden ASM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata adalah tepat pada masanya untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menubuhkan pusat berkenaan berikutan pihaknya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan data utama bagi penyediaan Laporan 'Science Outlook 2015'.
Terdahulu, dalam ucapannya, Tangau berkata STI tidak dapat dipertimbangkan secara berasingan kerana ia merentas sektor ekonomi, kementerian dan domain pengetahuan.
"Dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020, STI adalah penggerak transformasi sosio-ekonomi dan pertumbuhan inklusif," katanya.
Mengenai laporan itu, beliau berkata ia dihasilkan untuk memberi kajian semula secara bebas, analisis berasaskan bukti dan tinjauan terhadap landskap STI.
Laporan yang dimulakan pada 2010 itu mengandungi enam bab dan 18 cadangan keperluan STI untuk pembangunan negara.
#ains #inovasi #Madius Tangau #pusat data #STI #teknologi
;