Kerajaan tidak terpesong daripada sasaran berpendapatan tinggi - Pemandu

Bernama
Mei 4, 2016 01:49 MYT
Berdasarkan keadaan makro ekonomi global semasa, nilai ambang pendapatan tinggi bagi 2015 dianggarkan pada US$12,303 (US$1=RM3.91)
Sasaran pendapatan tinggi yang ditetapkan kerajaan tidak terpesong walaupun angka nilai ambang mungkin meningkat atau menurun mengikut pelbagai keadaan ekonomi.
Berdasarkan keadaan makro ekonomi global semasa, nilai ambang pendapatan tinggi bagi 2015 dianggarkan pada AS$12,303 (AS$1=RM3.91), menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam maklum balas terhadap kebimbangan yang dikongsi penulis Saleh Mohammed menerusi artikel yang disiarkan dalam akhbar tempatan pada 28 April bertajuk, "Jadi Inklusif untuk Capai Wawasan" ("Be Inclusive to Achieve Vision"), Pemandu berkata pada 2010, Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjangka trajektori ke arah tahun 2020, dengan tujuan menetapkan sasaran bagi Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
"Dalam mencapai nilai ambang pendapatan tinggi AS$15,000, kerajaan mengambil nilai ambang pendapatan tinggi Bank Dunia 2009 sebanyak AS$12,195 dan mengambil kira kadar inflasi global yang diterbitkannya sebanyak 2.0 peratus yang dianggarkan untuk negara-negara berpendapatan tinggi sehingga tahun 2020.
"Dengan usaha untuk menstabilkan mata wang dan usaha lain untuk mengukuhkan ekonomi seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-11, Malaysia masih berada pada landasan untuk mencapai pendapatan tinggi menjelang 2020," menurut Pemandu.
Mengenai perbezaan antara angka per kapita Pendapatan Negara Kasar (PNK) dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 berbanding Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2015, PEMANDU berkata anggarannya AS$10,110 per kapita berdasarkan kaedah Atlas Bank Dunia.
"Jumlah yang tepat akan diterbitkan oleh Bank Dunia pada Jun 2016," kata Pemandu.
Menurut Laporan Tahunan BNM, PNK per kapita dolar AS adalah US$9,291.
"Anggaran Pemandu PNK per kapita pada 2015 yang berdasarkan kaedah Atlas lebih tinggi pada US$10,110 kerana kaedah Atlas yang ditakrifkan oleh Bank Dunia mengambil purata tiga tahun bagi kadar pertukaran, berbanding purata satu tahun bagi kadar pertukaran yang akan digunakan oleh BNM," katanya.
Model Atlas Bank Dunia menyediakan nilai ambang pendapatan tinggi yang akan meletakkan Malaysia berbanding standard global, kata Pemandu, sambil menambah ia menghargai maklum balas membina yang diberikan oleh Saleh.
#ekonomi #pemandu #Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan