Kerajaan tidak tarik balik kebenaran rentas negeri jika kes meningkat - PM

Hasimi Muhamad
Oktober 10, 2021 16:13 MYT
Kerajaan tidak akan menarik balik kebenaran rentas negeri meskipun berlaku peningkatan kes COVID-19, kelak. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan menarik balik kebenaran rentas negeri meskipun berlaku peningkatan kes COVID-19, kelak.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya akan melakukan penutupan secara bersasar di kawasan yang dikesan berlaku penularan jangkitan sahaja.
Ini bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi akan terus terjamin, tambah Ismail Sabri.
"Apabila pembukaan dilaksanakan, maka ianya akan terus dilaksanakan walaupun terdapat peningkatan kes.
"Kita tidak akan tutup seluruh Langkawi, misalnya apabila ada kes meningkat di hotel... yang perlu kita lakukan ialah tutup hotel itu.
"Di kampung saya ada dua PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) tetapi seluruh Bera tidak dijadikan PKPD. Namun, aktiviti harian bergerak seperti biasa iaitu restoran masih dibuka dan aktiviti bebas seperti biasa," katanya pada sidang media khas di sini pada Ahad.
BACA: Akhirnya! 11 Okt dah boleh rentas negeri
Pada masa yang sama, beliau berkata, ketika ini kerajaan belum menetapkan bila tempoh peralihan fasa endemik.
Bagaimanapun tegas Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) seterusnya.
"Mungkin seperti diumumkan baru-baru ini, SOP semakin dikurangkan... Kalau sekarang ada 180 SOP melibatkan semua aktiviti, selepas ini mungkin ia akan dikurangkan.
"Walau bagaimanapun, seperti saya katakan, walaupun kita terpaksa melatih diri kita untuk hidup bersama COVID-19, kerana COVID-19 mungkin tidak terhapus sepenuhnya, ia mungkin berada sekitar kita, dan kita terpaksa hidup bersama COVID-19 ini," katanya.
Justeru, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga diri dan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan peningkatan semula kes COVID-19.
#rentas negeri #balik kampung #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Langkawi #COVID-19
;