Kerajaan tidak tanggung kos kelewatan Hospital Parit Buntar

Bernama
Jun 24, 2019 05:45 MYT
Projek pembinaan Hospital Parit Buntar bernilai RM136.7 juta dengan 76 katil yang mengalami kelewatan masih dalam pembinaan 15 peratus berbanding 35 peratus sekarang sepatutnya siap pada Disember 2020. - Foto BERNAMA
Kerajaan tidak akan menangung kos kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Hospital Parit Buntar jika ia berpunca daripada kontraktor.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata projek itu yang bermula pada 1 Jan tahun lepas sepatutnya siap menjelang 28 Dis 2020, namun kini berlaku kelewatan antaranya disebabkan pelaksanaan kerja, reka bentuk, koordinasi dan pengalaman kontraktor.
"Kita sedang dalam rundingan untuk mengetahui kelewatan itu disebabkan pihak kerajaan atau kontraktor, dan jika berpunca dari kontraktor mereka yang akan menanggung kos.
"Memang mengikut jadual ada kelewatan 172 hari daripada segi pelaksanaan projek, sepatutnya pelaksanaan projek pembinaan 35 peratus sekarang tetapi kini masih 15 peratus," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Hospital Parit Buntar di Simpang Lima dekat sini pada Isnin.
Apabila siap kelak, Hospital Parit Buntar yang berharga RM136.7 juta itu akan mempunyai 76 katil selain pelbagai kemudahan antaranya makmal x-ray dan bilik pembedahan.
Dr Lee berkata pihaknya akan memantau projek tersebut dengan lebih rapi bersama dengan wakil rakyat setempat dan Jabatan Kerja Raya agar ia berjalan lancar selain menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
"Kita harap projek ini dapat disiapkan segera kerana hospital ia menjadi pemangkin di kawasan utara negeri ini," katanya.
Menurut Dr Lee, hospital kluster itu akan mendapatkan perkhidmatan bantuan doktor pakar dari Hospital Taiping.
Selain itu, Dr Lee berkata dua lagi hospital akan dibina di negeri ini iaitu di Seri Iskandar dengan 76 katil dan Kampar yang masih dalam proses mengenal pasti tapak sesuai.
-- BERNAMA
#Hospital #hospital kluster #Hospital Parit Buntar #kerajaan #kesihatan #Kontraktor #kos kelewatan #Lee Boon Chye #lewat siap #projek pembangunan #rakyat
;