Kerajaan tidak tahu rancangan RISDA mahu tanam ketum
Astro Awani
Julai 28, 2016 21:17 MYT
Julai 28, 2016 21:17 MYT
Kerajaan tidak dimaklumkan mengenai rancangan pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengenai sebarang cadangan penanaman pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara itu juga tiada dalam agenda kementeriannya.
Katanya, isu berkenaan perlu dikaji implikasinya secara terperinci sebelum RISDA memohon kebenaran terhadap penamanan pokok ketum.
“Tentang mana-mana pihak hendak menanam ketum untuk dieksport, ia tiada dalam buku Kementerian. Tiada dalam agenda Kementerian.
“Sama ada hendak tanam, galakkan orang menanam, untuk minum sendiri atau untuk dieksport, itu kami tidak terlibat. Kalau ada orang yang ada idea macam RISDA, elok kaji dulu implikasinya,” katanya selepas merasmikan kemudahan jeti nelayan darat di Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini hari ini.
Menurutnya, pengambilan ketum adalah salah mengikut Akta Racun 1952, yang boleh membuat seseorang itu berasa khayal apabila diminum.