Kerajaan tidak sekat NGO bantu mangsa banjir - Ismail Sabri
Astro Awani
Januari 5, 2021 17:23 MYT
Januari 5, 2021 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi-agensi berkaitan dinasihatkan berhubung dengan Pusat Pengurusan Bencana Banjir Daerah jika mahu menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi melancarkan proses saluran bantuan dari pelbagai pihak.
"Kita amat terima kasih sebab setiap kali banjir NGO mesti beri bantuan, agensi seperti JKM juga turun bantu. Setiap kawasan telah menetapkan SOP dari segi pengagihan makanan dan sebagainya.
"Pengagihan biasanya akan diagihkan di pusat-pusat pemindahan sementara. Biasanya NGO akan bantu di pusat pemindahan, dan kedua, di kawasan terkepung. Jadi, saya minta kalau boleh sila hubungi pusat pengurusan bencana daerah supaya mereka boleh membantu.
"Kita tidak sekat bantuan (NGO), tetapi nak bantu dari segi nak mengedarkan bantuan," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Pada masa sama, ia bagi mengelak sebarang isu-isu lain berbangkit.
"Biasanya pusat pengurusan bencana daerah menentukan pengagihan makanan di kawasan yang terkepung. Mereka tahu mana (mangsa) yang dapat tak dapat, dan berapa jumlah diperlukan. Jadi kalau kita tidak tahu, akan timbul isu.
"Jadi yang terbaik pergi ke pusat pengurusan bencana daerah dan dapatkan bantuan dari situ. Berapa keperluan dan apa SOP perlu dipatuhi," ujarnya lagi.