Kerajaan tidak layan tuntutan pihak luar ke atas Sabah

Astro Awani
Mac 1, 2016 18:09 MYT
WISMA PUTRA: Kerajaan tidak layan tuntutan pihak luar ke atas Sabah
Kerajaan tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, ia merupakan penegasan pendiriannya bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak 16 September 1963.
"Hari ini, kami memanggil Kedutaan Besar Republik Filipina, Maria Antonina M. Mendoza-Oblena, Charge d’ Affaires bagi membincangkan artikel berkaitan dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh salah seorang calon Presiden Filipina di dalam akhbar tempatan Filipina baru-baru ini.
"Calon itu menyatakan hasrat untuk meneruskan tuntutan Kerajaan Filipina ke atas Sabah sekiranya dilantik sebagai Presiden republik tersebut, semasa Pilihanraya Umum Filipina yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei depan," jelas kenyataan itu.
#Filipina #Maria Antonina M. Mendoza-Oblena #Sabah #Wisma Putra
;