Kerajaan tidak kenakan tapisan pada WhatsApp, Wechat, Michat - Fahmi
Ridauddin Daud
Februari 23, 2023 11:55 MYT
Februari 23, 2023 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengenakan sebarang tapisan terhadap aplikasi permesejan segera seperti WhatsApp, Wechat, Michat dan lain-lain seumpamanya.
Begitupun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sekatan tetap dikenakan terhadap aplikasi lain yang secara jelas melanggar undang-undang
“Tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan adalah berasaskan aduan daripada masyarakat awam serta pihak yang terkesan, dan berlandaskan lunas-lunas perundangan sedia ada.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak atau individu melakukan sebarang bentuk tindak tanduk atau memuat naik kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pihak atau individu yang berkenaan.
“Tindakan bukanlah kepada platform yang menjadi platform perkongsian kandungan atau maklumat,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan P Prabakaran (PH - Batu) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi Telegram, Wechat, Michat, dan beberapa aplikasi permesejan lain.