Kerajaan tidak iktiraf UEC kerana kepentingan politik - Pakar

Dania Zainuddin
November 5, 2015 21:17 MYT
IBRAHIM: Negara-negara di luar Malaysia sudah banyak mengiktiraf kelayakan UEC. - Gambar Astro AWANI
Pendirian kerajaan yang tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dilihat satu keputusan yang lebih berasaskan kepentingan politik.
Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia, Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berpendapat setiap keputusan kerajaan berhubung aspek pendidikan sering dibayangi dengan isu politik.
"Keputusan kerajaan itu dilihat mementingkan parti politik, mungkin juga mementingkan negara. Dalam berdepan pelbagai faktor ekonomi, budaya dan sosial, kerajaan biasanya akan tetap membuat keputusan berlandaskan kepentingan politik," kata Ibrahim, dalam satu temubual selepas majlis Bicara Integriti yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Ibrahim, negara-negara di luar Malaysia sudah banyak mengiktiraf kelayakan UEC.
"Ini kerana negara-negara luar seperti Australia, Singapura dan lain-lain tidak perlu bimbang dengan isu politik di Malaysia," jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengkritik keputusan kerajaan pusat yang tidak mengiktiraf sijil UEC, dan menyifatkan tindakan itu merugikan negara.
Pada Majlis Bicara Integriti itu, Ibrahim merupakan antara empat panelis yang membincangkan cabaran semasa serta usaha membudayakan integriti bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yusal Yusoff, Aktivis, Tan Sri Lee Tam Thye dan Pengerusi Telekom, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang turut menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani antara INTEGRITI dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan antara INTEGRITI dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
#Adenan Satem #Anis Yusal Yusoff #Bicara Integriti #Ibrahmim Bajunid #Lee Lam Thye #Sijil Peperiksaan Bersama #sulaiman mahbob #UEC
;