Kerajaan tidak campur tangan dalam pelaksanaan dasar monetari BNM - Tengku Zafrul

Astro Awani
Julai 7, 2022 17:30 MYT
Tengku Zafrul memaklumkan, berdasarkan undang-undang, kerajaan tidak boleh menyelaras sebarang kenaikan dasar monetari kerana BNM adalah sebuah badan bebas. - Gambar fail/FB Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bersifat bebas dan tidak ada campur tangan kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut Zafrul, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan adalah berdasarkan penilaian bank pusat itu.
Beliau memaklumkan, berdasarkan undang-undang, kerajaan tidak boleh menyelaras sebarang kenaikan dasar monetari kerana BNM adalah sebuah badan bebas.
"Dasar monetari ini diurus secara bebas oleh BNM, keputusan ini adalah bebas tanpa campur tangan kerajaan persekutuan termasuk keputusan sebelum ini serta yang terkini.
"Kebebasan ini termasuk dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009. Ini bermaksud kerajaan tidak boleh mengarahkan BNM menaik atau menurunkan OPR.
"BNM melalui MPC sendiri yang putuskan kesesuaian OPR berdasarkan penilaian mereka,"katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan dan Laporan Kelestarian 2021 Edotco di sini hari ini.
BACA: OPR naik 25 mata asas ke 2.25 peratus
Beliau menjelaskan, kebebasan BNM itu juga penting apabila ia berkaitan dengan kepercayaan dalam pasaran.
Ini kerana katanya jika terdapat sebarang manipulasi atau campur tangan kerajaan dalam sebarang keputusan dasar monetari, ia akan menjejaskan integriti pasaran.
Jelasnya, kenaikan OPR BNM ini adalah berdasarkan tekanan inflasi yang terus meningkat kepada 2.8 peratus berbanding 2.4 peratus sebelum ini.
Malah, katanya tekanan inflasi dihadapi seluruh dunia termasuk negara maju di mana ada antaranya melebihi sembilan peratus.
"Fenomena ini diakibatkan oleh kenaikan harga komoditi global disebabkan konflik Rusia-Ukraine serta gangguan rantaian bekalan.
"Tindakan BNM adalah bagi mengekang aliran keluar pelaburan dari negara yang akan sebabkan kejatuhan ringgit yang lebih teruk.
"Jika OPR kekal, pelabur akan alih pelaburan mereka ke luar Malaysia. Ringgit jatuh, harga barang akan naik kerana kita mengimport 60 peratus bahan mentah.
"Kenaikan ini juga berdasarkan perkembangan terkini serantau. Secara dasarnya, saya merasakan dasar monetari kita masih kompetatif.
"OPR ketika ini juga masih rendah berbanding dengan kadar sebelum pandemik COVID-19 sebanyak tiga peratus," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagaimanapun kerajaan mengambil maklum kenaikan OPR ini dan akan terus memantau perkara ini.
Beliau berkata, kerajaan akan cuba mengimbanginya kerana kita tidak mahu ada yang terlebih untung dan terbeban.
Katanya, ini kerana kerajaan melalui Jawatankuasa Dasar Fiskal, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan bertanggungjawab ke atas dasar fiskal negara.
"Kerajaan akan meneruskan segala bentuk bantuan dan subsidi kepada rakyat.
"Malaysia juga sudah merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang kukuh untuk tahun ini pada lima peratus dan momentum itu diyakini akan berterusan untuk suku kedua 2022.
"Paling penting adalah kita kena terus tingkatkan ekonomi negara. Bila ekonomi berkembang banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan.
"Kerajaan akan terus memperhalusi dasar dan bantuan yang dapat kurangkan beban kos sara hidup rakyat," tambahnya.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Bank Negara Malaysia #BNM #Jawatankuasa Dasar Monetari #MPC #kadar dasar semalaman #OPR
;