Kerajaan tidak cadang tambah rumah kebajikan warga emas - Chew

Bernama
Ogos 15, 2016 22:06 MYT
Kementerian menggalakkan golongan korporat dan syarikat pemaju perumahan mengambil kira keperluan warga emas dalam perancangan pembangunan perumahan mereka bagi memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terpelihara. - Gambar fail
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Chew Mei Fun berkata kerajaan tidak bercadang menambah rumah kebajikan bagi menempatkan warga emas, sebaliknya menggalakkan mereka supaya tinggal bersama-sama anak.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga ibu bapa masing-masing, dan bukannya mengabaikan mereka.
"Pihak kami bukan sahaja menitikberatkan kebajikan warga emas, malah kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) juga kerana kita mahu membawa mereka kembali kepada keluarga masing-masing," katanya.
Chew berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) Siti Ameh Ruman dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas JPKAS Zulkiflie Hassan.
Chew berkata dengan menggalakkan ibu bapa tinggal bersama-sama anak-anak mereka, warga emas itu boleh berinteraksi lebih kerap dengan masyarakat.
Mengenai PAWE, Chew berkata pihaknya menggalakkan golongan korporat dan syarikat pemaju perumahan mengambil kira keperluan warga emas dalam perancangan pembangunan perumahan mereka bagi memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terpelihara.
"Kawasan kejiranan Rukun Tetangga juga digalakkan mewujudkan PAWE sebagai pusat aktiviti harian untuk warga emas semasa anak-anak mereka keluar bekerja," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Chew berkata kementerian itu akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan kebajikan warga emas di negara ini.
Beliau berkata perbincangan Majlis Warga Emas dengan badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan, pakar-pakar universiti dan warga emas sendiri, kementerian mendapati keselamatan sosial, kewangan dan kesihatan merupakan tiga aspek sosial berkaitan warga emas yang perlu diberi perhatian.
Sehubungan itu, katanya kementerian akan berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung keperluan dan kebajikan warga emas bagi menghadapi kemungkinan Malaysia menjadi negara penuaan pada 2030 atau 2035, apabila 15 peratus rakyat negara ini berusia 60 tahun ke atas.
#Chew Mei Fun #Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pembangunan Wanita #Pusat Aktiviti Warga Emas #rumah kebajikan #warga emas
;