Kerajaan tidak cadang potong elaun menteri, pegawai atasan untuk langkah penjimatan

Ridauddin Daud
Julai 21, 2022 10:07 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed menerima cenderamata selepas melancarkan program Gemilang iaitu program latihan terbaharu diterajui Google.
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan penyelarasan elaun melibatkan pegawai atasan kerajaan dan menteri sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini isu tersebut tidak dibangkitkan.
“Itu (pemotongan elaun) tidak berbangkit setakat ini,” jawabnya ringkas ketika ditemui media selepas majlis pelancaran program Gemilang, program latihan terbaharu diterajui Google di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan adakah wujud keperluan untuk kerajaan memotong elaun pegawai tinggi dan menteri sebagai langkah penjimatan.
Ia susulan kenyataan Kementerian Kewangan sebelum ini yang meminta semua badan kerajaan melaksanakan penjimatan dengan menyusun semula peruntukan, mengurangkan perbelanjaan dan menyemak semula program sedia ada.
BACA: Sasaran penjimatan RM5 bilion hingga RM6 bilion daripada baki peruntukan mengurus 2022 - Tengku Zafrul
Dalam pada itu, Mustapa berkata, pengumuman penjimatan dilakukan kerajaan dijangka tidak memberi kesan domino sehingga mengganggu pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
“Setakat ini, cuma 30 daripada lebih 7,000 projek membabitkan RM100 juta sahaja peruntukan pembangunan daripada RM75 bilion. Angka ini kecil.
"Jadi ini tidak harus membimbangkan. Projek yang sudah bermula, sudah ada reka bentuk dan sudah diiklankan tak ada masalah. Justeru, kerisauan yang timbul ini ialah tidak berasas.
"Urusan mengurus perlu diutamakan. Ini baru perancangan sebelum dimuktamadkan dan libat urus sedang berjalan antara EPU (Unit Perancang Ekonomi), MOF (Kementerian Kewangan dan KSU (Ketua Setiausaha)," ujarnya.
Parlimen | Projek pembangunan ditangguh, apa implikasinya?
Jelasya, kerajaan juga kekal mengambil langkah berwaspada supaya tidak mengganggu pelan pemulihan ekonomi negara.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, kerajaan sudah mengenal pasti 30 projek bernilai RM100 juta untuk ditangguhkan.
Menurut Mustapa, projek yang ditangguhkan adalah yang disenaraikan untuk tahun 2022 namun belum lagi dimulakan, tidak diiklankan, dan tidak dilakukan perolehan.
Namun, menurut Ahli Parlimen Jeli itu, projek mega seperti MRT3, HSR, ECRL, dan Pan Borneo masih terus berjalan seperti biasa.
#Mustapa Mohamed #Kementerian Kewangan #MOF #elaun menteri