Kerajaan tidak cadang mansuhkan peperiksaan Sijil Amalan Guaman - Kulasegaran

Bernama
Julai 29, 2024 07:20 MYT
Kulasegaran menafikan desas-desus mengatakan wujudnya dasar kerajaan bagi menentukan peratusan kuota pelajar CLP yang lulus atau tidak lulus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) sebaliknya sedang dalam usaha menambah baik peperiksaan berkenaan, persidangan Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan itu adalah bagi mengadakan Common Bar Course (SBC) atau Common Bar Examination (CBE) lebih komprehensif agar selari dengan pemeriksaan guaman antarabangsa sebagaimana kursus latihan guaman (Bar Training Courses) di United Kingdom.
"Dalam hal ini Legal Profession Qualifying Board (Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia) telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan CBC, CBE.
"Antara aspek sedang dikaji termasuklah kandungan silibus dan kurikulum kaedah penilaian tenaga pengajar, pentadbiran dan pengurusan serta kewangan yang diperlukan melaksanakan CBC, CBE," katanya pada sesi soal jawab hari ini.
Kulasegaran berkata selain itu sesi perundingan sedang diadakan bersama pihak berkepentingan dan akan terus diadakan sehingga isu berbangkit dapat diselesaikan.
"Pandangan diterima daripada pihak berkepentingan tersebut akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan sebelum hasil keseluruhan kajian pelaksanaan CBC, CBE ini diangkat kepada Legal Profession Qualifying Board," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk A. Kesavadas yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memansuhkan peperiksaan CLP serta langkah-langkah diambil Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia bagi memastikan peperiksaan itu dilaksanakan secara terbuka.
Sementara itu, Kulasegaran menafikan desas-desus mengatakan wujudnya dasar kerajaan bagi menentukan peratusan kuota pelajar CLP yang lulus atau tidak lulus.
"Kita sekarang sedang menambah baik supaya prosesnya lebih terbuka menerusi konsultansi terbuka, antaranya saya telah mengarahkan pihak universiti awam dan swasta berjumpa seberapa banyak pelajar yang sedang menduduki peperiksaan itu.
"Tiada kuota dan semua layak untuk mendaftar, dan mengambil bahagian dalam peperiksaan, jika layak," katanya.
-- BERNAMA
#Sijil Amalan Guaman #CLP #Dewan Negara #kulasegaran