Kerajaan tidak ambil pendekatan propaganda dalam menyampaikan maklumat - Saifuddin

Bernama
Julai 10, 2021 13:27 MYT
Menurut Saifuddin dalam waktu krisis ketika ini, tugas media adalah berlipat ganda kerana suasana menuntut kita untuk bergerak dan bekerja lebih cepat serta lebih berkesan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multi Media Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengambil pendekatan propaganda dalam menyalurkan maklumat, khususnya berkaitan pandemik COVID-19.
Saifuddin berkata selain menggunakan platform rasmi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), pihaknya sering berhubung rapat dan mengadakan perjumpaan berkala bersama syarikat komunikasi swasta bagi menerangkan strategi kerajaan dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.
"Menjadi kebiasaan pihak kerajaan sentiasa dikritik sama ada secara berhadapan atau maya dan sebaik-baiknya kita bertahan.
"Sebagai kerajaan, saya bagi jaminan kita tidak menggunakan strategi propaganda yang hanya menceritakan benda baik tanpa mengaku kesalahan sedia ada," katanya dalam sidang media secara maya selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Antarabangsa Kali Ke-3, Islam, Media dan Komunikasi (ICIMAC) 2021, hari ini.
Persidangan yang bertemakan "Komunikasi, Media dan Kesannya Ketika Krisis" berlangsung selama dua hari sehingga esok bagi membincangkan peranan media dalam membantu penyaluran maklumat dan komunikasi ketika krisis.
Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin berkata media hari ini perlu memegang tiga prinsip utama iaitu kebenaran, keadilan dan kebebasan.
"Saya mengatakan bahawa dalam waktu krisis ketika ini, tugas media adalah berlipat ganda kerana suasana menuntut kita untuk bergerak dan bekerja lebih cepat serta lebih berkesan.
"Walaupun krisis, kita tidak boleh mengenepikan soal tiga prinsip utama ini dalam menyampaikan maklumat," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata cabaran dunia media masa kini adalah sejauh mana rakyat menerima maklumat yang benar atau separuh benar.
"Saya berharap rakyat akan dapat terus menerima maklumat sahih bagi memastikan khususnya ketika ini negara sedang mengalami krisis," katanya.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #MCMC #COVID-19 #Malaysia #Perikatan Nasional #PN #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #pandemik
;