Kerajaan tidak ambil peluang lakukan perubahan ketika darurat - Pakar ekonomi
Fareez Azman
April 19, 2021 16:24 MYT
April 19, 2021 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan sejak Januari lalu memberi pelbagai implikasi kepada ekonomi negara dan rakyat.
Dalam masa sama, pengisytiharan darurat juga memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memperbaharui beberapa perkara berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurut pakar ekonomi, Muhammed Abdul Khalid, darurat yang diisytiharkan tidak semestinya memberi kesan buruk jika pihak pemerintah mempunyai pengalaman dan kepakaran yang diperlukan.
"Darurat tak semestinya buruk jika pihak pemerintah ada pakar yang baik. Ini adalah merugikan kerana pihak kerajaan sangat kuat dan boleh melakukannya.
"Lakukan pembaharuan, sewaktu segalanya baik, sudah tentu sukar untuk lakukannya, tetapi ketika ini ianya boleh dilaksanakan secara komprehensif dan tegas," katanya dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di sini pada Isnin.
Sidang media secara dalam talian itu turut disertai Penasihat Penyelidik Institusi Penyelidikan Khazanah, Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram, ahli ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi dan Pengerusi Jawatankuasa Tamatkan Darurat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.
Tambah Mohamed, kerajaan juga boleh menggunakan alasan darurat untuk mengawal kenaikan harga barang yang tidak membebankan rakyat.
"Sebagai contoh perlindungan sosial, sektor tidak rasmi tidak dilindungi, ini peluang terbaik untuk meminda atau menambah baik sistem sosial.
"Sistem pencukaian juga boleh dipinda untuk pastikan harga barang tidak naik, tetapi tidak dilakukan malah diabaikan perkara ini.
"Isu Pendidikan (pula)… mungkin inilah masanya untuk pastikan setiap pelajar mendapat pendidikan secara dalam talian atau dalam kelas yang terbaik. Memastikan mereka mendapat makanan secukupnya," ujar Mohamed lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesan ekonomi yang dihadapi ketika ini amat mencabar apabila kurangnya keyakinan pelaburan dalam dan luar negara.
Kerajaan, jelas beliau, perlu memberi ruang kepada proses semak dan imbang menerusi pembukaan semula Parlimen.
"Perkara ini akan beri kesan jangka masa panjang untuk generasi hadapan. Saya setuju jika Parlimen dibuka kembali untuk semak dan imbang demi rakyat.
"Kadar pengangguran tertinggi sejak 30 tahun lalu, (angka) rakyat tidak bekerja naik kepada 600,000 ketika ini.
"Kesan buruk harga barang naik and lebih merunsingkan, tiada bantuan lain atau bantuan baru untuk rakyat. Bantuan baharu ialah duit rakyat sendiri keluar dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), ini tidak bertanggungjawab," tegasnya lagi.
#KWSP
#EPF
#Kuala Lumpur
#Parlimen
#ekonomi
#pelajar
#kerajaan
#darurat
#PKP
#rakyat
#pelaburan
#Pakar Ekonomi
#Jawatankuasa Tamatkan Darurat
#Khalid Samad