Kerajaan tidak akan sambung konsesi Puspakom yang tamat 31 Ogos ini - Anthony Loke

Ridauddin Daud
Ogos 26, 2024 15:23 MYT
Anthony Loke (tengah) berkata demikian pada sidang media khas berkaitan isu tersebut di Ibu Pejabat MOT di Putrajaya pada Isnin. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan tidak akan menyambung tempoh konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang tamat pada 31 Ogos 2024.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penamatan konsesi itu membuka peluang kepada pemain industri berkelayakan yang lain untuk terlibat dalam pemeriksaan kenderaan bermotor.
Tambah beliau, menerusi pelaksanaan dasar baharu itu, Puspakom merupakan syarikat pertama yang diberi kuasa untuk memeriksa kenderaan bermotor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Tegasnya, Puspakom tidak ditutup, masih boleh beroperasi seperti biasa cuma perlu bersaing dengan pemain industri yang lain kerana tiada lagi hak eksklusif untuk mereka.
“Setakat ini, sambutan daripada industri yang ditetapkan di bawah Akta 333 adalah sangat positif.
“Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan akan mengumumkan pemain baharu dalam masa terdekat.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus pantau, supaya perkhidmatan disediakan adalah teratur, patuhi standard dan bagi memastikan perkhidmatan berkualiti disediakan kepada pelanggan.
“Kerajaan juga menjemput mana-mana pihak berkelayakan untuk memohon pemberian kuasa bagi melaksanakan dan menyediakan perkhidmatan sama di negara kita,” katanya.
Tambahnya, ketika taklimat berkaitan isu tersebut dibuat, terdapat 50 buah syarikat menyertainya dan setakat ini terdapat dua permohonan rasmi diterima.
Pemain industri masih boleh membuat permohonan di laman web rasmi JPJ dan Kementerian Pengangkutan dan tarikh tutup adalah pada 31 Oktober 2024.
“Sekarang ini tiada lagi konsesi, jadi Puspakom akan beroperasi tapi perlu bersaing dengan pemain industri lain.
“Apa sahaja dilaksanakan mereka sebelum ini boleh diteruskan seperti biasa, cuma ada pemain baharu yang mereka kena bersaing.
“Saya yakin mereka mampu kerana mereka sudah ada pengalaman lama dalam industri ini dan rangkaian mereka juga besar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan isu tersebut di Ibu Pejabat MOT di Putrajaya pada Isnin.
#Anthony Loke #JPJ #Puspakom #konsesi #tamat