Kerajaan tidak akan lanjutkan tempoh pendaftaran E-Kad PATI
Harits Asyraf Hasnan
Julai 1, 2017 14:50 MYT
Julai 1, 2017 14:50 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun hanya 23 peratus daripada PATI telah memohon E-Kad tetapi tindakan tegas mengikut Akta Imigresen terpaksa dilakukan.
"KDN melalui Jabatan Imigeresen bertegas bahawa sehingga malam tadi 30 Jun kita telah menamatkan pengeluaran E-Kad dan tindakan tegas terpaksa kami lakukan kerana Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali telah memberikan beberapa kali amaran dan saya tidak fikir amaran harus dikeluarkan lagi dan lanjutan dilakukan.
"Mereka berada di negara ini mereka berhajat cari rezeki kami tidak sekat kalau mereka mencari secara halal," katanya pada sidang media semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman beliau di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam isu tersebut sebaliknya majikan bertanggungjawab penuh dalam melakukan pendaftaran tersebut.
"Kita tidak menyalahkan sesiapa tetapi majikan harus bertanggungjawab, pekerja juga harus bertanggungjawab jika mereka mengetahui mereka tidak punyai visa bekerja.
"Kita memberikan beri tempoh secukupnya pada mereka. Jika ada majikan atau persatuan majikan mohon lanjutan, saya tidak fikir perkara itu boleh dilakukan dan tindakan tegas menanti mereka," tegasnya.
Majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka di bawah E-Kad boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959 / 63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi seorang PATI, penjara sehingga lima tahun, atau sebatan.
Kebanyakan permohonan E-Kad adalah melibatkan pati dari negara Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.