Kerajaan tidak akan abai kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara - Kamarudin
Umavathi Ramayah
April 2, 2020 19:22 MYT
April 2, 2020 19:22 MYT
Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli, India selamat tiba di Malaysia menaiki dua pesawat sewa khas Malindo Air, pada Khamis.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2) secara berasingan pada pukul 5.50 pagi dan 4.46 petang, Khamis.
"Sementara 1,790 lagi rakyat Malaysia yang masih terkandas di India, termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy akan dibawa pulang secara berperingkat bermula esok hingga Isnin depan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berasingan, Kamarudin berkata, 59 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Melbourne, Australia dijangka tiba di KLIA kira-kira pukul 8.30 malam, pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, masih ada 266 rakyat Malaysia yang direkodkan terkandas di Australia dan mereka akan dibawa pulang dalam masa terdekat.
Menyentuh mengenai nasib rakyat Malaysia di Algeria yang tular dalam laman sosial baru-baru ini, beliau menegaskan, Wisma Putra mengambil maklum perkara itu.
"Buat masa ini kerajaan Algeria telah menggantung semua penerbangan komersial dan susulan itu Kedutaan Besar Malaysia di Algeria sedang berusaha membawa mereka pulang menaiki pesawat sewa khas," katanya lagi.
Dalam perkembangan di Chad, Nigeria pula, Kamarudin memberitahu, Wisma Putra dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria bahawa Lapangan Terbang N’djamena Chad akan dibuka semula esok (Jumaat).
Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad, katanya, diminta untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja di talian +2347031365197.
Kamarudin menambah, kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan mana-mana rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
Wisma Putra juga katanya mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak untuk membawa mereka pulang ke tanah air.
#Australia
#coronavirus
#COVID-19
#India
#Kamarudin Jaffar
#KLIA
#koronavirus
#Malindo Air
#Wisma Putra