Kerajaan tiada peruntukan labur dalam projek kereta nasional ketiga - Guan Eng
Astro Awani
Disember 1, 2018 17:51 MYT
Disember 1, 2018 17:51 MYT
Tidak ada sebarang keputusan untuk kerajaan membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga.
Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, projek kereta nasional ketiga itu memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar dan oleh itu memerlukan penglibatan pelaburan swasta, lapor Bernama.
"Sehingga sekarang pihak kerajaan dalam Belanjawan 2019 pun tidak ada peruntukan sedemikian (melabur wang untuk membina kereta nasional ketiga).
"Nak bina kereta nasional ketiga pelaburannya ialah berbilion-bilion USD, bukanlah RM10 juta atau RM20 juta. Melainkan bila ada pelaburan swasta itu kita boleh guna," kata Guan Eng.
Kerajaan, bagaimanapun, menurutnya lagi tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Apa salahnya kita buat R&D, sekiranya ia berhasil boleh guna untuk Proton ataupun DRB-Hicom...tak semestinya untuk kereta ketiga."
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan naik taraf Kaunter Aduan Balai Polis Butterworth, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa pihak termasuk pembangkang yang mendakwa kerajaan akan melabur dalam projek kereta nasional ketiga itu.
""Ini kita harus ambil peringatan...untuk mereka, pihak yang cuba kaitkan yang bukan-bukan kita harap jangan buat andaian berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan tidak berasas," kata Guan Eng.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan cadangan mewujudkan jenama kereta nasional baharu, bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.
Guan Eng berkata, R&D adalah sesuatu yang harus digalakkan dan kerajaan amat menggalakkan mana-mana pihak untuk menjalankan R&D dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berinovasi.
"Sebagai contoh, kalau kita buat R&D dalam bahan-bahan berkaitan dengan 'aerospace' adakah ini bermakna kita nak bina kapal terbang sendiri. Ini kerana teknologi sekarang bukanlah 'stand alone' ia pun ada berkaitan, ada hubungan dengan yang lain-lain. Itulah sesuatu bidang inovasi.
"Sekiranya kementerian nak labur menggunakan peruntukan mereka dalam R&D, saya rasa itu tidak ada masalah. Tapi janganlah pula kaitkan ini adalah menunjukkan kita nak bina kereta nasional ketiga," katanya.
Sementara itu, mengenai Balai Polis Butterworth, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata balai polis yang berusia hampir 50 tahun itu akan ditambah baik secara berperingkat bagi memberikan wajah baharu kepada warga tempatan dan asing seiring dengan perkembangan semasa.
"Ini adalah salah satu balai polis penting kerana dianggap sebagai satu tempat strategik. Dengan adanya Penang Sentral yang merupakan hab pengangkutan awam utama di wilayah utara, ini bermakna pelanggan yang akan diterima oleh balai polis ini akan bertambah. Ini mesti disusuli dengan kelengkapan moden dan kemudahan asas. Ini yang saya akan cuba bantu," katanya.
#Belanjawan 2019
#kereta nasional ketiga
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#pelaburan kerajaan
#pembangkang
#Proton
#R&D