Kerajaan tiada insentif khusus bantu Proton bersaing di Asia Tenggara - Mustapa
Astro Awani
November 4, 2014 20:33 MYT
November 4, 2014 20:33 MYT
Kerajaan tidak mempunyai sebarang insentif yang khusus dari segi automatif untuk menggalakkan Proton dan Honda bergabung termasuk mengekalkan syarikat pengeluar kereta negara itu kekal bersaing di Asia Tenggara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Proton juga telah beberapa kali berbincang dengan beberapa syarikat antarabangsa untuk bergabung tetapi setakat ini belum lagi berjaya.
"Jadi kita tidak ada insentif dalam beberapa industri, kerajaan ada insentif umpamanya bidang perbankan. Kita juga ada insentif untuk menggalakkan beberapa industri dalam bidang perkhidmatan untuk bergabung. Itu insentif yang telah ada tapi dalam bidang auto belum ada."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Reezal dalam soalan tambahannya bertanya apakah pihak kerajaan mewujudkan insentif khusus bagi memungkinkan berlakunya kerjasama pulangan ke atas ekuiti.
Tambah Mustapa, beberapa cadangan Reezal untuk melihat Proton kekal bersaing sebaris dengan syarikat pengeluar kenderaan Indonesia dan Thailand juga akan dipertimbangkan.
"Ia satu kaedah yang mungkin memaksa mereka untuk bergabung kerana kalau syarikat-syarikat ini beroperasi pada skala kecil sudah pasti ini meningkatkan kos.
"Saiz pasaran Indonesia sekarang ini semakin meningkat kerana Indonesia jumlah penduduknya 250 juta, kira-kira 7-8 kali ganda lebih besar daripada penduduk Malaysia," jelasnya.
Jelasnya lagi, perbincangan empat tahun dahulu antara Proton dengan Perodua juga sudah dibuat untuk meningkatkan saiz pasaran kenderaan.
"Namun usaha itu bukan bergabung tetapi meningkatkan kerjasama dan sekarang ini ada kerjasama antara Proton dengan Perodua dalam vendor development, pembangunan vendor," katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Dr. Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) yang bertanya adakah Proton akan bekerjasama dengan Syarikat Honda sebagai rakan kongsi dalam mengeluarkan kereta Model baru memandangkan Proton Perdana adalah 100% dari Honda Accord, kata Mustapa.
"Proton berhasrat untuk menghasilkan model-model baru yang berkualiti tinggi dan berteknologi terkini, maka perbincangan masih lagi berjalan antara Proton dengan Honda untuk berkongsi model dan platform."