Kerajaan tiada hasrat perkenal TVET kepada lepasan Darjah 6 - Ahmad Zahid

Bernama
Disember 11, 2024 18:39 MYT
Ahmad Zahid berkata meskipun terdapat negara maju melakukan perkara tersebut, pihaknya berpendapat cadangan itu perlu penelitian sebaiknya. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk memperkenalkan program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan Darjah 6, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ringkasan AI
  • Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan program TVET kepada pelajar lepasan Darjah 6 buat masa ini, tetapi akan memulakannya dengan pelajar lepasan Tingkatan 3 terlebih dahulu.
  • Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa pelajar dalam program TVET akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga lima, setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma.
  • Sehingga 31 Oktober, seramai 408,000 pelajar TVET telah direkodkan di seluruh negara, menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 128,000 pelajar sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata meskipun terdapat negara maju telah melakukan perkara tersebut, pihaknya berpendapat cadangan pelaksanaan TVET bagi lepasan Darjah 6 perlu penelitian sebaiknya.
"Ada beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) umpamanya, selepas grade 6, mereka terus dimasukkan ke program TVET dan TVET jadi pilihan utama di sana. Malah banyak negara maju telah memulakan perkara itu juga.
"Tetapi biarlah kita mulakan dengan lepasan Tingkatan 3 dahulu, kemudiannya baru kita buka (kepada pelajar) selepas Darjah 6 nanti, kerana kita tidak mahu kejutan budaya berlaku kepada ekosistem pendidikan negara kita," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi KKDW di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Datin Ros Suryati Alang mencelah dan mencadangkan agar pendidikan TVET itu diturunkan had umur seawal 13 tahun, berikutan terdapat ramai pelajar yang tinggal di luar bandar dan Orang Asli yang selepas Darjah 6 enggan lagi melanjutkan ke sekolah menengah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) berkata kerajaan akan berusaha membantu pelajar lepasan tingkatan tiga untuk mengikuti kursus program TVET.
"Saya amat menyedari trend yang sebegitu. Setakat ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memulakan kursus TVET ini selepas mereka melalui Tingkatan 3," katanya.
Beliau memaklumkan pelajar dalam bidang tersebut akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga lima iaitu setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (tahap satu hingga tiga) dan taraf seperti Diploma (tahap empat dan lima).
Ahmad Zahid turut berkata sehingga 31 Okt ini, seramai 408,000 pelajar TVET seluruh negara direkodkan, suatu peningkatan yang memberangsangkan jika dibandingkan seramai 128,000 pelajar, sebelum beliau menggalas tanggungjawab pengerusi MTVET.
Beliau berkata ketika ini institusi TVET awam di bawah 12 kementerian, termasuk enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada sesi penggulungan kementeriannya pula berkata ketika ini, sebanyak enam pelan induk tebatan banjir sedang dibangunkan dengan tiga daripadanya dalam perancangan untuk dibangunkan seawal April 2025 dan 50 pelan telah disiapkan.
Beliau berkata selain menyediakan cadangan atau syor projek tebatan banjir secara bersepadu, pelan induk berkenaan juga mengandungi 'peta hazard banjir' yang menjadi rujukan utama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan agensi pertahanan dalam merancang pembangunan negara termasuklah dalam persediaan menghadapi banjir.
"Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan 133 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), termasuklah 43 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) seluruh negara.
"Daripada jumlah tersebut, 46 projek di peringkat prapelaksanaan, 79 dalam pelaksanaan dan lapan telah siap dilaksanakan.
"Dengan pelaksanaan projek-projek RTB, kadar kerosakan infrastruktur dan kerugian rakyat akibat banjir berjaya dikurangkan, melibatkan 32 peratus daripada keseluruhan 33.2 juta penduduk di seluruh negara dan 13.4 peratus kawasan terdedah banjir daripada jumlah keluasan 330,803 kilometer persegi di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #TVET #lepasan darjah enam #Sijil Kemahiran Malaysia
;