Kerajaan tiada halangan pengeluaran KWSP secara mandatori pada usia 55 - PM

Hasimi Muhamad
Julai 6, 2023 11:46 MYT
Kerajaan secara dasar bersetuju terhadap cadangan untuk menjadikan pilihan pengeluaran KWSP secara berkala atau bulanan kepada mandatori apabila mencecah usia persaraan 55 tahun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka kepada cadangan untuk menjadikan pilihan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berkala atau bulanan kepada mandatori apabila mencecah usia persaraan 55 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut ketika ini berada di peringkat akhir.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan semasa pencarum KWSP.
“(Cadangan pengeluaran mandatori) itu masih di peringkat akhir. Saya tiada keberatan (dengan cadangan tersebut).
“(Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kata ada beberapa kekangan terutama dalam kalangan ahli yang jumlahnya (simpanan) sikit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan versi baharu aplikasi i-Akaun KWSP pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) di ibu negara.
Aplikasi i-Akaun KWSP menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Platform yang dinaik taraf itu menyediakan pelbagai fungsi bagi ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP, termasuk kalkulator simpanan persaraan baharu bagi membantu ahli menilai kecukupan simpanan KWSP apabila bersara kelak.
Semalam, Amir Hamzah memaklumkan, KWSP tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Menurut Amir Hamzah, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Bagaimanapun, tegasnya, pelaksanaan secara mandatori itu memerlukan kajian yang lebih teliti dan perbincangan lanjut dengan kerajaan.
ISWC 2023 yang berlangsung selama dua dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
#KWSP #pengeluaran KWSP secara mandatori #PM Anwar Ibrahim #usia persaraan
;