Kerajaan tiada cadangan mansuh Cukai Pelancongan
Astro Awani
Oktober 13, 2018 09:39 MYT
Oktober 13, 2018 09:39 MYT
Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Cukai Pelancongan yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing yang masuk ke negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi berkata cukai terbabit akan diteruskan pelaksanaannya demi kebaikan negara.
"Kita tidak bercadang untuk memansuhkan Cukai Pelancongan atau Tourism Tax, malah akan kekalkan cukai terbabit kerana ia menguntungkan negara.
"Kita ambil maklum apa yang disuarakan pelancong berkenaan cukai itu terutama dari pelancong 'backpackers'.
"Tetapi jika dilihat pada nilai cukai RM10, dan dibandingkan dengan nilai matawang mereka, ia hanya jumlah kecil untuk dibayar ketika melancong ke negara ini," jelasnya ketika ditanya mengenai rungutan pelancong asing berhubung Cukai Pelancongan yang dikenakan ke atas setiap transaksi.
Mohamaddin ditemui pada Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di bangunan MOTAC di sini pada Sabtu.
Malaysia mula melaksanakan Cukai Pelancongan tersebut selepas Parlimen meluluskan pelaksanaannya yang bermula pada 1 September 2017.
Mengulas lanjut Mohamaddin berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan kadar cukai terbabit buat masa ini kerana ia dilihat masih berpatutan.
"Buat masa ini kita belum memutuskan sebarang keputusan untuk kenaikan kadar Cukai Pelancongan terbabit," jelasnya.
Pada sambutan Hari Sukan Negara peringkat kementerian tersebut, seramai 500 kakitangan MOTAC menghadiri acara tersebut yang bermula seawal 6 pagi.