Kerajaan tiada cadangan keluar senarai penerima vaksin - Ahmad Amzad
Astro Awani
Mac 4, 2021 11:54 MYT
Mac 4, 2021 11:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengeluarkan senarai penerima vaksin COVID-19 kerana angka yang menanti setakat ini sudah terlalu panjang.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah 1.7 juta pendaftaran juga akan meningkat dalam sedikit masa lagi, maka asas senarai tidak akan dibuat.
"Sebab senarai ini amat panjang.. setakat ini yang telah mendaftar di dalam MySejahtera lebih daripada 1.7 juta dan semakin bertambah, macam mana kita hendak keluarkan senarai.
"Jadi penerima-penerima vaksin ini akan dimaklumkan melalui sistem yang ada, MySejahtera dan juga bagi yang tidak ada MySejahtera, ada kaedahnya yang mana penerima akan dimaklumkan.
"Jadi untuk kita mengumumkan senarai secara satu persatu itu setakat ini kita tidak bercadang untuk berbuat demikian," katanya semasa dihubungi pada Khamis.
BACA: Vaksin COVID-19: Dakwaan ada amalan 'potong barisan', kerajaan negeri Kelantan buat laporan polis
Pada Rabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter memaklumkan seramai 1,741,364 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera.
Jumlah terkini itu berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Dalam pada itu kata Ahmad Amzad, JKVAV sentiasa menerima sebarang laporan sekiranya ada dakwaan potong barisan untuk pengambilan suntikan vaksin.
"Kita ingin menegaskan bahawa kerajaan sangat bertegas berhubung dengan kejadian potong barisan ini. Sekiranya ada, orang ramai boleh melaporkan dan kita akan mengambil langkah-langkah pembetulan yang segera.
"Dari segi dasar kita tidak seharusnya ada potong barisan dan setakat laporan yang telah diberikan kepada kita setakat ini apabila penyiasatan dilakukan mendapati individu-individu yang dimaksudkan dalam laporan berkenaan adalah termasuk dalam senarai frontliners seperti definisi yang telah dikeluarkan oleh JKVAV," ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin dilaporkan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan yang cuba 'memotong barisan' sebagai penerima awal suntikan vaksin COVID-19.
Beliau berkata dakwaan yang tular di media sosial itu adalah satu berita yang tidak benar dan palsu sehingga mencemarkan imej serta pentadbiran kerajaan negeri.
#Twitter
#COVID-19
#vaksin
#MOSTI
#JKJAV
#PICK
#Khairy Jamaluddin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Ahmad Amzad Hashim
#Timbalan Menteri MOSTI
#MySejahtera