Kerajaan tetapkan tiga SOP baharu ibadah umrah

Umavathi Ramayah
Februari 8, 2022 18:13 MYT
Kerajaan menetapkan tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada jemaah yang akan melaksanakan ibadat umrah di Tanah Suci, berkuat kuasa 14 Februari ini. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada jemaah yang akan melaksanakan ibadat umrah di Tanah Suci, berkuat kuasa 14 Februari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara SOP baharu itu adalah membenarkan jemaah umrah menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA) seperti sebelum ini.
"Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di sini, pada Selasa.
Selain mewajibkan dos penggalak, Hishammuddin memberitahu, person-in-charge dari agen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan
semasa di pintu masuk antarabangsa negara dengan jemaah sekiranya melebihi 40 individu atau disediakan bagi setiap tempoh tersebut untuk jumlah jemaah kurang dari 40 individu.
"Kerajaan tahu bahawa ada jemaah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini. Oleh itu, untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.
"Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan," jelasnya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#SOP umrah #Mesyuarat Kuartet #Hishammuddin Hussein #Menteri Kanan Pertahanan #jemaah #Tanah Suci #SOP baharu
;