Kerajaan teruskan subsidi ayam dan telur mulai bulan depan
Fareez Azman
Jun 9, 2023 17:40 MYT
Jun 9, 2023 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Julai depan.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
"Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai 2023.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari yang lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2023,"jelas kenyataan itu.
Keputusan meneruskan pemberian subsidi itu diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai depan.
Jelasnya penamatan tersebut membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit ketika ini.
Ujarnya, bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan, kementeriannya akan melaksanakan mekanisme pemulihan bertahap.
Ia termasuk memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging gidup, ayam bulat, membenarkan pengimportan ayam dan telur daripada pelbagai negara sumber yang diiktiraf termasuk Thailand, China, Brazil, Denmark dan Ukraine.